Iklan

Suhakam desak prosiding jenayah kes serang pemandu e-hailing OKU dipercepatkan

Alfian Z.M. Tahir2 months ago16th Aug 2024Berita
Suhakam logo  full
Suhakam gesa AGC mempercepatkan prosiding jenayah terhadap pengiring polis yang didakwa menyerang seorang pemandu Grab pekak, pada Mei lalu. – Gambar Facebook, 16 Ogos, 2024.
Iklan

SURUHANJAYA Hak Asasi Malaysia (Suhakam) menggesa Pejabat Peguam Negara (AGC) mempercepatkan prosiding jenayah terhadap pengiring polis yang didakwa menyerang seorang pemandu Grab yang pekak, pada Mei lalu.

Suhakam berkata kelewatan dalam menangani insiden serius itu menjejaskan keyakinan orang awam terhadap institusi yang bertanggungjawab dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan keadilan.

Suhakam turut meminta penjelasan apa tindakan yang sudah dikenakan terhadap pegawai polis terbabit setakat ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Suhakam berkata ia menerima baik pengumuman dibuat Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkenaan tindakan disiplin akan diambil, tetapi ia mahu tahu apakah hukuman yang dikenakan terhadap pegawai terbabit.

“Sebagai jabatan yang diberi amanah utnuk melindungi orang awam, pegawai polis sepatutnya bertanggungjawab terhadap hak individu, termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).

“Suhakam ingin menegaskan sebarang salah laku dibuat oleh pegawai penguatkuasa, tidak boleh diterima dan bercanggah dengan prinsip keadilan yang termaktub dalam rangka kerja guaman kami dan standard hak asasi manusia antarabangsa.

“Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesaksamaan undang-undang dan perlindungan, satu prinsip yang perlu dipertahankan oleh semua pihak berkuasa termasuk polis dan AGC,” kata kenyataan itu.

Semalam, Razarudin berkata tindakan disiplin sudah dikenakan terhadap anggota polis pengiring VVIP yang dilaporkan mencederakan seorang pemandu e-haling OKU dalam satu serangan di luar hotel St Regis Kuala Lumpur pada 28 Mei.

Beliau berkata tindakan diambil serta-merta selepas siasatan dalam dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard pada awal Jun.

Katanya, anggota polis yang mempunyai masalah disiplin boleh dihukum dengan amaran, kenaikan gaji ditahan, digantung kerja dan diturunkan pangkat.

Razarudin berkata demikian sebagai mengulas tindakan Lawyers for Liberty yang menyiarkan rakaman video daripada kamera papan pemuka kenderaan menunjukkan mangsa, Ong Ing Keong diserang seorang individu dipercayai pengawal pengiring kepada VIP.

Peguam, N Surendran wang mewakili Ong berkata penyerang terbabit masih belum dihukum walaupun polis mendakwa kertas siasatan sudah dihantar ke AGC. – 16 Ogos, 2024.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan