Iklan

LFL desak tubuh suruhanjaya bebas siasat kes serangan pemandu e-hailing OKU

Alfian Z.M. Tahir2 months ago5th Sep 2024Berita
Zaid malek lfl 120722  full
Pengarah LFL Zaid Malek berkata walaupun kertas siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, tidak ada apa-apa pendakwaan dibuat terhadap pelaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2024.
Iklan

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim perlu menubuhkan satu suruhanjaya siasatan bebas berhubung kes seorang pemandu Grab yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran yang diserang oleh anggota polis pengiring orang kenamaan, kata Lawyers for Liberty (LFL).

Pengarah LFL Zaid Malek memberitahu wartawan walaupun kertas siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, tidak ada apa-apa dilakukan untuk mendakwa anggota polis terbabit.

Desakan dibuat LFL hari ini turut mendapat sokongan 35 organisasi bukan kerajaan yang lain.

“Kerajaan perlu bertindak. Bukti kes ini adalah jelas. Keadilan yang dilengahkan adalah keadilan yang dinafikan.

“Suruhanjaya siasatan bebas perlu ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyiasat perkara ini kerana tiada tindakan diambil terhadap pegawai terbabit,” katanya.

Sebelum ini, LFL mengesa kerajaan memberi penjelasan berhubung kes itu termasuk perkembangan kes, dan turut mempersoalkan kenapa tidak ada individu yang didakwa walaupun bukti sudah diserahkan kepada polis.

Terdahulu, Zaid bersama mangsa, Ong Ing Keong menyerahkan memorandum kepada perdana menteri di Putrajaya.

Memorandum itu dihantar susulan kegagalan kerajaan mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang menumbuh Ong di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Ong ditemani LFL dan wakil daripada Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia menyerahkan memorandum itu kepada wakil perdana menteri.

Anwar pada masa ini berada di Russia untuk lawatan rasmi.

Pada 26 Mei, Ong, 46, diserang oleh anggota pengawal yang mengiringi orang kenamaan di luar Hotel St Regis ketika beliau sedang menunggu untuk menjemput pelanggannya di luar lobi.

Ong mendakwa seorang lelaki mengetuk tingkat keretanya dan kemudian menumbuknya di muka. Beliau membuat dua laporan di balai polis Brickfields dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur. – 5 September, 2024.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan