Iklan

Himpunan durian esok sah, kata pekebun

Alfian Z.M. Tahir2 months ago6th Sep 2024Berita
Img-20200915-wa0031  full
Save Musang King Alliance akan mengadakan Perhimpunan Besar Pekebun 907 esok di Dataran Pasar Sungai Klau di Raub, Pahang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2024.
Iklan

SAVE Musang King Alliance (Samka) menolak kenyataan ketua polis Raub berkenaan himpunan yang dijadualkan esok tidak mendapat kebenaran.

Presiden Samka Wilson Chang berkata kenyataan dibuat ACP Mohd Shahril Abdul Rahman tidak berasas kerana ketua polis negara sebelum ini berkata himpunan itu tidak memerlukan kelulusan.

“Ketua Polis Negara Razarudin Hussain pada Mei berkata himpunan ini perlu mematuhi garis panduan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan tiada permohonan kebenaran diperlukan. Hanya notis lima hari awal saja,” katanya.

Beliau berkata notis sudah dihantar pada 30 Ogos, lapan hari sebelum himpunan itu diadakan.

“Kami mematuhi garis panduan dan tempat himpunan adalah kawasan umum.

“Saya menggesa orang ramai untuk menyertai Perhimpunan Besar Pekebun 907 esok untuk mendesak kerajaan berhenti melakukan intimidasi terhadap pekebun durian,” katanya.

Terdahulu, Shahril memberitahu Bernama penunjuk perasaan yang hadir himpunan itu akan dikenakan tindakan keras susulan penganjur tidak mendapat kelulusan daripada pemilik lokasi.

Himpunan itu dijadualkan diadakan di Dataran Pasar Sungai Klau di Raub, Pahang esok.

Beliau berkata penganjur juga gagal memaklumkan kepada polis 10 hari sebelum acara itu.

“Kami turut menerima bantahan daripada penduduk setempat, termasuk pemilik lokasi dan Majlis Daerah Raub. Dengan semua faktor ini, himpunan itu tidak diluluskan,” katanya.

Samka mengumumkan himpunan itu bertujuan menggesa kerajaan negeri untuk menyewakan tanah kepada pekebun untuk menanam durian.

Samka mendakwa sejak kes semakan kehakiman pekebun durian ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 24 April lalu, pekebun durian di Raub menghadapi kesulitan, sering berdepan dengan tekanan dan gangguan dari kerajaan negeri, konsortium dan pihak penguatkuasa. – 6 September, 2024.

Iklan
Iklan