Hutang tetap hutang, kata peminjam PTPTN
Iklan
PEMINJAM Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyambut baik janji Pakatan Harapan (PH) menangguhkan bayaran semula pinjaman sehingga mereka terima gaji lebih tinggi namun ragu apakah manfaatnya kepada bakal peminjam yang lain.
PH dalam manifesto pilihan rayanya berjanji menangguhkan bayaran pinjaman PTPTN bagi peminjam yang berpendapatan tidak sampai RM4,000 sebulan.
Nordiana Nuzuin Akma Nordin, 29, berpendapat janji itu wajar kerana tidak semua graduan mampu untuk membayar pinjaman ketika gaji tumbuh perlahan tidak setara dengan kos sara hidup yang meningkat.
Bagaimanapun, beliau juga sedar yang hutang tetap hutang.
“Bagi saya adil jika peminjam semua faham konsep hutang. Hutang wajib dibayar walau dalam apa keadaan sekalipun, cuma cepat atau lambat.
“Bayaran pada kerajaan akan digunakan semula untuk generasi depan dan mungkin juga generasi itu adalah anak-anak kita,” kata pereka grafik bebas itu kepada Malaysia Decides.
Hutang tertunggak PTPTN setakat Mac 2018 mencecah RM52.84 bilion, kata bekas pengerusi dana itu, Shamsul Anuar Nasarah sebelum pilihan raya umum baru-baru ini. Beliau letak jawatan awal minggu lalu.
Seorang lagi peminjam, Farhana Fuad sependapat dengan Nordiana merasakan janji PH itu akan menyusahkan bakal peminjam mendapatkan pinjaman pada masa akan datang.
Beliau juga bimbangkan apakah penangguhan pembayaran semula itu akan meningkatkan beban hutang negara.
“Saya setuju dengan penangguhan itu sebab kadang-kadang gaji kita nak cecah RM4,000 pun ambil masa.
“Kena kaji sepenuhnya macam mana nak laksanakan penangguhan ini. Macam ada kawan saya yang kerja tujuh tahun tapi gaji masih belum mencecah RM4,000, secara tak langsung interest pun meningkatlah.
“Hutang negara sudah RM1 trilion. Macam mana nak sokong balik generasi akan datang untuk pendidikan. Susahlah mereka nak teruskan pengajian,” katanya.
Dasar menangguhkan bayaran balik itu rasional, kata Prof Dr Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) namun perlu dilihat kesannya kepada generasi akan datang.
“Penangguhan pembayaran sehingga mendapat kerja saya kira agak rasional tetapi sehingga gaji mencecah RM4,000 agak populis, sesuai dengan manifesto menawan hati pengundi.
“Fasa ini ialah fasa realiti dan kerajaan baru harus menilai semula fakta pembendaharaan negara.
“Isu ini bukan soal adil atau tidak tetapi kapasiti dan keupayaan negara menanggung hutang pengajian dan perancangan jangka panjang bagi generasi yang memerlukan bantuan kewangan pendidikan,” katanya.
Seorang peminjam, Kamalia Ramli, 31, bagaimanapun tidak setuju dengan penangguhan itu kerana ia tidak adil bagi mereka yang bertungkus-lumus membayar hutang tanpa mengambil kira jumlah pendapatan yang diperolehi.
“Sampai bila nak tunggu gaji cecah RM4,000? Kalau yang kerja freelance macam saya gaji tak menentu. Takkan memanjang tak bayar. Caj pentadbiran semakin tinggi.
“Kalau dalam Islam, hutang wajib dibayar walau tidak dituntut. Sepatutnya peminjam sudah asingkan duit bayar hutang dulu sebelum berbelanja ke tempat lain,” katanya. – 28 Mei, 2018.