Iklan

Jawatankuasa siasatan terima penjelasan lanjut laporan 1MDB

Asila Jalil6 years ago30th May 2018Berita
Abu talib othman tmi 03
Pengerusi Jawatankuasa Siasatan 1MDB Abu Talib Othman berkata beliau telahpun bertemu beberapa wakil dari Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Sekuriti untuk bertukar pandangan mengenai 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Mei, 2018.
Iklan

JAWATANKUASA Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mendengar penjelasan lanjut dari Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Sekuriti berhubung laporan audit 1MDB yang didedahkan kepada umum baru-baru ini.

Pengerusinya, Abu Talib Othman berkata beliau telahpun bertemu beberapa wakil dari ketiga-tiga badan itu untuk bertukar pandangan mengenai 1MDB.

“Mereka sudah jelaskan kepada kami dalambutiran mengenai laporan yang baru-baru ini didedah kepada umum,” beliau memberitahu wartawan di Menara Ilham di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, Abu Talib enggan mengulas lanjut perkara itu kerana menurut beliau siasatan mereka masih dalam peringkat “pra matang” dan memerlukan lebih banyak penjelasan.

“Ada beberapa isu yang memerlukan penjelasan kerana seperti yang saya dan perdana menteri katakan siasatan ini mesti adil dan mengikut undang-undang, peraturan dan prosedur. Kita tak boleh membuat andaian,” katanya sambil menambah jawatankuasa itu sedang cuba menyelesaikan perkara ini secepat yang mungkin.

Abu Talib juga berkata orang ramai perlu menunggu siasatan yang dijalankan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum membuat sebarang andaian.

“Saya fikir polis dan SPRM sedang meneruskan siasatan mereka. Itu yang mereka kata, jadi kita tunggu saja hasil siasatan,” katanya.

Pada 15 Mei, Ketua Audit Negara Madinah Mohamad mengumumkan laporan audit 1MDB secara rasmi dibuka kepada umum.

Laporan itu diklasifikasikan sebagai rahsia pada 22 Januari 2016 dan diserahkan kepada Jawatankuasa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 4 Mac 2016.

Selain Abu Talib, jawatankuasa itu juga terdiri daripada Rakan PwC Risk Assurance Services, Nik Shahrizal Sulaiman; Rakan Kanan Naqiz Partners, Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar; Penasihat Kanan Financial Services Authority Indonesia, Faris Rabidin serta Pengasas Pusat Bagi Menangani Rasuah dan Kroni, Cynthia Gabriel. – 30 Mei, 2018.

Iklan
Iklan