Iklan

Jawatankuasa Pembaharuan Institusi bertemu wakil media untuk kaji peranan SKMM

Melati A. Jalil6 years ago1st Jun 2018Berita
Skmm fb
Wakil media memberi beberapa cadangan diberi kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi termasuk mengkaji semula undang-undang yang mengawal industri media seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Gambar Facebook, 1 Jun, 2018.
Iklan

JAWATANKUASA Pembaharuan Institusi (IRC) hari ini mengadakan satu lagi pertemuan dengan wakil media, membincangkan antara lain peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kata Premesh Chandran, ketua pegawai eksekutif laman berita bebas Malaysiakini.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, Premesh berkata beliau diminta menjelaskan mengenai penyekatan portal undi.info, laman keputusan pilihan raya secara langsung pada malam pilihan raya.

“Kami ditanya mengenai bagaimana SKMM mengawal Internet, terutamanya bagaimana laman sesawang kami Malaysiakini, live.undi.info dan undi.info disekat pada malam pilihan raya.

“Kami menjelaskan bagaimana ia berlaku. Kami berasa sekatan itu sangat tidak adil. Jadi kami berharap IRC akan menyiasat kejadian itu,” katanya selepas mesyuarat di Menara Ilham, Kuala Lumpur.

SKMM baru-baru ini berkata sekatan sudah ditarik susulan aduan yang diterima.

Premesh berkata beliau juga mengemukakan beberapa cadangan untuk mengkaji semula undang-undang yang mengawal industri media seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang digunakan terhadap media.

“Kita sememangnya memerlukan beberapa persekitaran yang mengawal selia tetapi pada masa ini SKMM seolah-olah menjadi alat politik di bawah kerajaan terdahulu,” katanya.

Jawatankuasa ini ditubuhkan pada 15 Mei dan akan mengemukakan penemuan dan cadangannya kepada Majlis Penasihat Kerajaan, yang akan menyampaikan laporannya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Lima anggota Jawatankuasa ini adalah hakim bersara Mahkamah Rayuan K.C. Vohrah, Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Presiden Persatuan Patriot Nasional Mohamed Arshad Raji, Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) S. Ambiga dan profesor undang-undang Universiti Malaya Shad Saleem Faruqi. – 1 Jun, 2018.

Iklan
Iklan