Iklan

Rakyat perlu bincang isu sensitif secara terbuka, kata peguam

Asila Jalil6 years ago2nd Jun 2018Berita
Fadiah Nadwa Fikri TMI
Peguam Fadiah Nadwa Fikri berkata kini merupakan masa terbaik untuk perbincangan mengenai isu kaum dan agama diadakan memandangkan tampuk kepimpinan negara sudah berubah wajah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Jun, 2018.
Iklan

RAKYAT perlu memulakan wacana yang menyentuh topik sensitif antaranya seperti kaum dan agama secara terbuka dan tidak menyerahkan bulat-bulat perkara itu kepada kerajaan

Peguam yang juga aktivis Fadiah Nadwa Fikri berkata kini merupakan masa terbaik untuk perbincangan sebegitu diadakan memandangkan tampuk kepimpinan negara sudah berubah wajah.

“Bagi saya, beremosi itu tidak mengapa tetapi kita harus ada ruang di mana kita boleh duduk berbincang, mengakui masalah yang kita hadapi dan juga mengakui hakikat bahawa perasaan benci sudah tertanam begitu lama dan kita harus berdialog mengenai semua isu dan masalah ini secara terbuka,” katanya dalam persidangan bertajuk “Post GE-14 Conference: Making Democracy Deliver” di Universiti Malaya (UM), hari ini.

Beliau berkata sebelum pilihan raya 9 Mei lalu, perkara sebegitu tidak dibenarkan untuk dibincangkan secara terbuka dan menegaskan ia masih terus berlaku walaupun kerajaan sudah bertukar.

Fadiah berkata ramai yang akan terkesan sekiranya isu sensitif di negara ini dipinggirkan dan tidak ditangani secara terbuka.

“Jika kita tidak bercakap mengenai semua isu ini, ia bermakna kita membenarkan penindasan terus berlaku.

“Jadi kita ada tanggungjawab untuk menyuarakan tentang isu ini tetapi kita harus berlaku jujur terhadap diri kita sendiri.

“Sudah terlalu lama kita memendam rasa benci, geram. Pertamanya, kita harus mengakui perkara itu kerana saya fikir apabila kita berubah, bukan sahaja kerajaan yang perlu diubah. Kita harus mengubah sikap penindas yang tertanam sejak lama dalam diri kita. Ia harus dilakukan,” katanya sambil menambah sesebuah kerajaan tidak akan dapat mengekalkan demokrasi sekiranya perkara sebegitu tidak dibincangkan.  

Beliau berkata apabila isu berkaitan kaum dibangkitkan, isu mengenai Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut akan ikut muncul.

“Saya rasa diri saya tak boleh tahan dengan reaksi (orang ramai).

“Kerana kita tidak perlukan reaksi, apa yang kita perlu adalah perbualan yang jujur mengenai kesemua isu-isu sukar ini,” katanya.

Baru-baru ini, Hindraf 2.0 menyerahkan 25 tuntutan kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi, antaranya menuntut UiTM dibuka untuk semua kaum terutama untuk kaum India dari golongan berpendapatan bawah 75 peratus (B75).

Bagaimanapun, Persatuan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (PAUiTM) membantah cadangan tersebut yang didakwa boleh mengundang kemarahan golongan Bumiputera.

Armada Bersatu turut menentang tuntutan itu dan menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menolak cadangan tersebut. – 2 Jun, 2018.

Iklan
Iklan