Tiada tolak ansur terhadap majikan langgar undang-undang gaji minima
Iklan
KERAJAAN tidak akan bertolak-ansur terhadap majikan yang melanggar undang-undang berhubung gaji minima dan pekerja asing, kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.
Menurutnya, amaran ini berikutan kerajaan baharu dipimpin Pakatan Harapan kini cuba mencapai salah satu janji manifestonya, iaitu gaji setaraf untuk rakyat Malaysia.
Amaran ini juga akan digunapakai terhadap syarikat perladangangan yang mengambil beribu-ribu pekerja buruh.
“Semua orang, termasuk bekerja sendiri. Itu adalah undang-undang yang ditetapkan negara. Gaji minima digunapakai terhadap semua orang,” katanya pada sidang media di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya hari ini.
Kira-kira satu pertiga atau 14 juta pekerja di negara ini bekerja di bawah sektor tidak formal seperti di pasar malam dan gerai makan.
Kerajaan PH juga akan mengumumkan kenaikan gaji minima pada Ogos ini.
Pelaksanaan ini akan turut diselaraskan di Semananjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Kadar gaji minima sedia ada adalah RM1,000 di Semenanjung Malaysia dan RM900 untuk Sabah dan Sarawak.
PH dalam manifesto pilihan rayanya meletakkan RM1,500 sebagai gaji minima. – 4 Jun, 2018.