Iklan

Majikan gagal mendaftar dengan PSMB akan diambil tindakan, kata menteri

Melati A. Jalil6 years ago5th Jun 2018Berita
M kulasegaran tmikamal 04
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran majikan diberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk mendaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB). – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2018.
Iklan

KEMENTERIAN Sumber Manusia akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan dalam bidang pembuatan, perlombingan dan kuari termasuk sektor perkhidmatan yang gagal mendaftarkan syarikat mereka dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), kata Menterinya, M Kulasegaran.

Beliau berkata daripada 45,750 majikan yang layak mendaftar, kira-kira 23,072 majikan yang masih belum mendaftar dan menyumbang kepada levi majikan.

“Kementerian tidak akan teragak-agak membawa mereka yang belum mendaftar atau ingkar ke mahkamah.

“Kami beri tempoh sehingga hujung bulan ini untuk membuat sumbangan yang sepatutnya dan sekiranya anda menghadapi masalah, anda boleh terus menghubungi PSMB dan kementerian mengenai apa yang kami boleh lakukan kerana kami mahu mendapatkan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak,” beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kuala Lumpur selepas menghadiri pertemuan pertama bersama ahli lembaga pengarah PSMB.

Seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta PSMB 2001, semua majikan yang mempunyai sepuluh dan lebih pekerja Malysia dalam ketiga-tiga sektor itu mesti berdaftar dengan PSMB. Mereka tertakluk kepada levi sehingga 1% daripada gaji bulanan pekerja.

“Kami tidak mahu membawa pegawai atau pemegang jawatan ke mahkamah serta memenjara atau mendenda mereka. Ini adalah jalan terakhir tetapi 50% majikan tidak menyumbang memang tidak bagus,” kata Kulasegaran.

Tambahnya, kementerian bersama PSMB akan menguatkuasakan pendaftaran dengan PSMB.

PSMB ialah agensi yang ditubuhkan pada 1993 di bawah Kementerian Sumber Manusia dan mengutip levi dari majikan untuk latihan kemahiran.

Mana-mana majikan yang melanggar syarat pendaftaran di bawah Seksyen 13(1) Akta PSMB 2001, apabila disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau dipenjarakan untuk satu tempoh tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali. – 5 Jun, 2018.

Iklan
Iklan