Bank Negara institusi kukuh berkhidmat untuk rakyat, kata Zeti
Iklan
BEKAS gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz percaya bank pusat itu akan terus bertahan walaupun dilanda kontroversi peletakan jawatan gabenornya, Muhammad Ibrahim walaupun enggan mengulas kontroversi itu.
“Yang saya boleh cakap adalah bank pusat adalah institusi yang kukuh dan ia berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada wartawan di Menara Ilham selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan.
Zeti adalah salah seorang daripada ahli majlis yang turut disertai bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, hartawan Robert Kuok, bekas CEO Petronas Hassan Merican dan pakar ekonomi Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram.
Awal hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Muhamad mengatakan Muhammad sudah meletak jawatan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong diperlukan sebelum pengumuman bakal gabenor baru boleh dibuat.
Menurut laporan Reuters sebelum ini, bekas timbalan gabenor Nor Shamsiah Mohd Yunus dijangka menggantikan Muhammad.
Muhammad yang jadi di gabenor pada Mei 2016 mendapat perhatian ramai apabila Daim mengecam pembelian tanah berharga RM2 bilion dibuat bank pusat itu daripada kerajaan.
Muhammad hari ini mengatakan beliau meletak jawatan untuk menjaga integriti bank pusat itu dan menegaskan urus niaga tanah itu dibuat dengan telus.
Kerajaan Pakatan Harapan mengatakan bekas perdana menteri Najib Razak menggunakan hasil urus niaga itu untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 6 Jun, 2018.