Jakim tidak dimansuhkan, kata mufti Wilayah Persekutuan
Iklan
MUFTI Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyokong inisiatif kerajaan untuk menilai semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dan sekali lagi meyakinkan kumpulan Muslim yang bimbang bahawa institut itu tidak akan dimansuhkan.
“Saya berpegang kepada apa yang Dr Mahathir (Mohamad) kata, iaitu isunya bukan tentang mansuhkan Jakim tetapi untuk melihat peranannya dan bagaimana meningkatkan dan memperkasakan ia.
“Sepatutnya tidak akan ada sebarang masalah,” katanya kepada media selepas mesyuarat dengan Majlis Penasihat di Menara Ilham hari ini.
Zulkifli berkata isu Jakim tidak dibangkitkan dalam mesyuarat selama sejam setengah pagi tadi, dan tiada syor diberikan tentang bagaimana hendak menyelaraskan jabatan itu.
Beliau berkata mesyuarat itu untuk membincangkan hal agama, dan menjelaskan isu berkaitan tafsiran Al-Quran.
Pada 30 Mei, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan satu jawatankuasa baharu yang terdiri daripada ulama dan pakar bukan agama akan dibentuk untuk melihat peranan Jakim, yang dikritik teruk sejak beberapa tahun terakhir ini kerana kelihatan ekstrem dalam dasarnya terhadap aktiviti harian umat Islam.
“Kita akan lihat sama ada ia akan kekal seperti sekarang atau dikembalikan ke tujuan asalnya,” kata Dr Mahathir.
“Kita akan pastikan ia tidak akan menunjukkan Islam ini sebagai agama yang kejam dan tidak bertimbang rasa. Itu bukan Islam sebenarnya.”
Sementara beberapa kumpulan Islam menyuarakan kebimbangan bahawa pengumuman itu petanda Jakim akan terkubur, kumpulan bekas penjawat awam terkemuka, G25 mengalu-alukan pemansuhan jabatan itu.
Kumpulan itu juga menggesa kerajaan memansuhkan sayap penyelidikan Jakim, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM). – 7 Jun, 2018.