Siti Nurhaliza sokong cadangan penubuhan majlis seni
Iklan
PENYANYI tersohor Siti Nurhaliza Tarudin hari ini mengesahkan cadangannya supaya kerajaan menubuhkan sebuah majlis bagi menyelia dan membangunkan industri negara.
Ketika bercakap kepada media selepas bertemu Majlis Penasihat Kerajaan, Siti berkata beliau memajukan beberapa cadangan mengenai bagaimana untuk menambah baik industri muzik dan persembahan tempatan.
“Saya akan sokong (majlis seni) jika ia baik untuk industri,” Siti memberitahu wartawan di Menara Ilham di Kuala Lumpur hari ini.
Siti bersama beberapa lagi nama besar dalam industri seni tempatan hari ini dipanggil untuk bertemu Majlis Penasihat Kerajaan untuk memberi taklimat kepada ahli-ahli majlis mengenai industri seni negara.
Mereka termasuk pelakon Jo Kukanthas; pengasas Pusaka dan pengarah, Eddin Khoo; pengkritik filem, Hassan Muthalib dan bekas ketua pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Kamil Othman.
Menurut Siti, satu memorandum mengenai cadangannya akan diserahkan kepada Majlis untuk perbincangan lanjut.
“Perbincangan hari ini mengenai maklum balas positif dari industri. Saya tak akan bincangkan dengan terperinci (mengenai cadangan) tetapi ia bukan kepentingan sendiri,” tambah Siti.
Beliau sebelum ini mencadangkan satu pembaharuan dalam industri seni di bawah kerajaan Pakatan Harapan iaitu harus ada satu badan yang akan menjaga kebajikan artis-artis di Malaysia.
Cadangannya itu mendapat sokongan Karyawan yang mencadangkan pelbagai cabang seni diletakkan di bawah satu badan tunggal yang dapat memantau dan mengadakan aktiviti bagi menbangunkan pelbagai industri seni.
Presiden Karyawan, Freddie Fernandez minggu lalu berkata Majlis sedang menimbang cadangan itu yang menurut beliau akan memberi manfaat kepada semua penggiat seni di negara ini. – 7 Jun, 2018.