Iklan

Pakatan tak akan salah guna universiti untuk kepentingan politik, kata Maszlee

Asila Jalil6 years ago7th Jun 2018Berita
Iklan

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) tidak akan menyalahgunakan institusi pengajian tinggi untuk kepentingan politik mereka, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata universiti harus menjadi ruang intelektual di mana forum dan debat boleh dianjurkan.

“Saya akan pastikan, malah saya sendiri tidak akan menyalahguna universiti untuk kepentingan politik saya dan dan kerajaan.

“Kita mahu semua universiti menikmati autonomi dan memupuk kebebasan akademik serta budaya kebebasan,” beliau berkata demikian semasa majlis pengumuman ranking Quacquarelli Symonds (QS) World University 2019 di Kementerian Pendidikan hari ini.

Beliau berkata banyak sekatan dilakukan oleh kerajaan sebelum ini dan memberi jaminan bahawa PH tidak akan menyalahgunakan kuasa mereka terhadap universiti.

Tambah Maszlee lagi, banyak universiti Ivy League seperti Universiti Oxford dan Universiti Cambridge di England menjadikan universiti mereka sebagai ruang terbuka bagi perdebatan dan forum.

Semalam Dr Maszlee berkata universiti awam (UA) di seluruh negara bebas menganjur perdebatan dan forum seperti yang diamalkan oleh universiti terkemuka dunia yang lain. 

Beliau berkata arahan tersebut berkuat kuasa serta merta dan semua pentadbir UA diminta menyahut seruan tersebut atas semangat menjadikan universiti sebagai medan percambahan ilmu. 

“Saya minta naib canselor dan timbalan naib anselor hal ehwal pelajar mematuhi arahan ini dan memastikan tiada lagi sebarang halangan kepada program seumpama itu selepas ini. 

“Perkara ini perlu diselaraskan oleh semua universiti, di mana pemantauan terhadap pematuhannya akan dibuat kementerian,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 11 (1) di Putrajaya, semalam. – 7 Jun, 2018.

Iklan
Iklan