Lawatan Dr Mahathir ke Jepun peluang untuk dengar dasar kerajaan Pakatan
Iklan
LAWATAN ke luar negara pertama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke Jepun adalah satu peluang baik bagi memahami dasar-dasar asas kerajaan Pakatan Harapan, kata Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa.
Bercakap kepada wartawan selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin, Makio berkata kerajaan Jepun pasti berbesar hati menerima kedatangan Dr Mahathir ke Tokyo bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia ke-24 pada 11-12 Jun ini.
“Ini akan menjadi peluang yang baik bagi kami untuk mendengar dari beliau mengenai dasar asas kerajaan baharu.
“Beliau menekankan untuk memulihkan Dasar Pandang Ke Timur. Ini peluang baik bagi kami untuk membincangkannya,” kata Makio.
Beliau menambah, selain daripada revolusi perindustrian, Dasar Pandang Ke Timut juga merangkumi perkara-perkara berkaitan pendidikan dan keselamatan.
“Saya fikir kedua-dua perdana menteri akan secara umum akan membincangkan perkara-perkara yang akan memulihkan semula kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.
Ketika Dr Mahathir mula menjadi perdana menteri keempat dari 1981-2003, beliau memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur yang menjadi penanda aras bagi hubungan dua hala Malaysia-Jepun.
Jepun merupakan penyumbang pelaburan langsung asing (FDI). FDI Jepun di Malaysia pada tahun lalu ilah kira-kira AS$13 bilion (RM51.7 bilion).
Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau merancang untuk mengubah Dasar Pang Ke Timur yang diperkenalkannya pada 1980-an ketika melawat Jepun.
Lawatan ke Jepun pada minggu depan akan menjadi penglibatan rasmi pertama bagi Dr Mahathir sejak dilantik sebagai perdana menteri ketujuh. – 7 Jun, 2018.