Iklan

Peguam negara perlu pastikan keadilan dalam kes 1MDB, kata Abu Talib

Melati A. Jalil6 years ago7th Jun 2018Berita
Abu-Talib-Othman-TMI2018
Pengerusi jawatankuasa siasatan 1MDB, Abu Talib Othman berharap Peguam Negara Tommy Thomas akan memastikan keadilan untuk semua semasa mengendalikan kes itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2018.
Iklan

ABU Talib Othman berkata peguam negara baharu Tommy Thomas perlu memastikan keadilan semasa mengendalikan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas peguam negara yang mengetuai jawatankuasa ditugaskan menyiasat 1MDB itu berkata, Thomas akan menerima kertas siasatan sebaik sahaja pasukan penyiasat selesai.

“Kami mengucapkan tahniah atas pelantikannya. Beliau berkata perlu mengkaji laporan itu apabila ia dihantar, jadi kami ucapkan selamat berjaya.

“Kami berharap beliau akan memastikan keadilan untuk semua ... keadilan kepada negara dan orang-orang yang dikatakan tidak mematuhi undang-undang,” katanya di luar Menara Ilham di Kuala Lumpur.

Beliau menambah jawatankuasa itu akan bermesyuarat dengan kerap sehingga perkara itu diselesaikan.

Ditubuhkan oleh Majlis Penasihat Kerajaan, jawatankuasa itu turut dianggotai Rakan PwC Risk Assurance Services, Nik Shahrizal Sulaiman; Rakan Kanan Naqiz Partners, Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar; Penasihat Kanan Financial Services Authority Indonesia, Faris Rabidin serta Pengasas Pusat Bagi Menangani Rasuah dan Kroni, Cynthia Gabriel.

Tumpuan utama jawatankuasa itu adalah untuk memastikan Malaysia dapat mensabitkan semua salah laku berkaitan 1MDB dan memaksimumkan perolehan semula semua aset yang dapat dikesan berkaitan 1MDB

Sementara itu, Pasukan Khas Siasatan 1MDB pula diketuai bersama bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Abdul Hamid Bador. – 7 Jun, 2018.

Iklan
Iklan