Malaysia tidak mohon ekstradisi Sirul, kata Dr Mahathir
Iklan
MALAYSIA belum memohon kepada Australia bagi mengekstradisi Sirul Azhar Umar, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata Sirul tidak akan kembali kerana takut akan digantung.
“Kami tidak memohon (meminta ekstradisi).
“Apabila kita mengurangkan hukumannya, mungkin dia akan kembali,” katanya di Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Dr Mahathir mengulas laporan di The Guardian yang kerajaan Australia meluluskan permintaan Malaysia untuk mengekstradisi Sirul, bekas anggota polis yang disabitkan dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibuu.
Dr Mahathir juga berkata kemungkinan mengurangkan hukuman Sirul daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup.
“Jika dia bimbang dengan keselamatan nyawanya, kita tidak boleh berbuat apa-apa.
“Jika dia takut ada orang lain membunuhnya, kita tidak boleh memaksa Sirul kembali ke negara ini.”
Dr Mahathir juga berkata mereka diminta menyemak kembali kes Altantuya.
Laporan itu berkata Sirul boleh pulang dalam tempoh sebulan, memberikan petanda bahawa kes bunuh Altantuya, yang menggegarkan negara dengan tuduhan hubungan sulit, pembunuhan, rasuah dan urus niaga pembelian senjata meragukan dikaitkan dengan Najib, mungkin dibuka semula memandangkan kerajaan Pakatan Harapan sedang dalam usaha membongkar semua salah laku pentadbiran terdahulu.
Pada 2009, Sirul dan rakan sepasukan dalam UTK, Azilah Hadri disabitkan bersalah membunuh Altantuya pada 2006, dan dijatuhi hukuman mi. Mereka kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan dalam satu keputusan kontroversi pada 2013.
Pendakwa merayu keputusan itu fi Mahkamah Persekutuan dan Sirul kemudian melarikan diri ke Australia, di mana beliau ditahan di pusat tahanan imigresen Villawood.
Pada 2015, Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan tidak bersalah dan dibebaskan terhadap kedua-dua tertuduh.
Sebelum ini permohonan Malaysia membawa pulang Sirul ditolak oleh Australia kerana undang-undang negara itu tidak membenarkan seseorang yang berdepan hukuman mati diekstradisi. – 8 Jun, 2018.