Iklan

Undang-undang baharu akan digubal elak ketirisan dana kerajaan 

Melati A. Jalil6 years ago8th Jun 2018Berita
Abu kasism
Pengarah Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) Abu Kassim Mohamed berkata perkara itu dipersetujui semasa mesyuarat Jawatankuasa Kabinet berhubung Anti Rasuah.– Gambar Youtube, 8 Jun, 2018
Iklan

PUTRAJAYA akan menggubal undang-undang baharu yang membenarkan langkah punitif diambil terhadap penjawat awam yang dengan sengaja menyebabkan ketirisan dan pembaziran kewangan dana kerajaan. 

Pengarah Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) Abu Kassim Mohamed berkata perkara itu dipersetujui semasa mesyuarat Jawatankuasa Kabinet berhubung Anti Rasuah (JKKMAR).

“Kerajaan akan menggubal undang-undang yang membolehkan tindakan punitif diambil terhadap pegawai yang dengan sengaja menyebabkan ketirisan dan pembaziran dana kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu hari ini. 

Turut hadir Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dan juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng. 

Abu Kassim, yang juga bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), juga berkata Pelan Anti-Rasuah Kebangsaan akan digubal untuk mengatasi isu tadbir urus, integriti dan anti-rasuah. 

NACP yang baharu akan menggantikan Pelan Integriti Nasional sedia ada. 

Semua kementerian digesa untuk mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga kelemahan membabitkan undang-undang, dasar dan peraturan sedia ada yang perlu dikaji semula untuk mengatasi isu penyelewengan, katanya. 

Isu yang dikenal pasti perlu dihantar kepada GIACC sebulan dari sekarang. 

Beliau juga berkata beberapa agensi sedia ada, termasuk Institut Integriti Malaysia (IIM), Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa akan diletakkan di bawah GIACC, yang ditubuhkan minggu lalu. 

Langkah itu diambil bagi memastikan fungsi dan struktur susunan baharu tidak akan bertindih. – 8 Jun, 2018

Iklan
Iklan