Iklan

Pembangkang tak perlu seorang lagi Jamal, kata Gerakan

Asila JalilNoel Achariam6 years ago9th Jun 2018Berita
Andy-Yong-Kim-Seng-TMI2018
Barisan Nasional kini perlukan orang yang bijak dan berpengetahuan bukan lagi orang buat onar macam Jamal Yunos, kata Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong Kim Seng. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Jun, 2018.
Iklan

PEMBANGKANG tak perlukan seorang lagi orang macam Jamal Yunos untuk melaksanakan tugas semak imbang kerajaan semasa, kata

Katanya, apa yang diperlukan sekarang adalah orang yang bijak dan berpengetahuan yang mampu melawan menggunakan fakta dan angka.

“Saya sangat mengagumi Liew Ching Tong (bekas ahli Parlimen Kluang) dan Rafizi Ramli (bekas ahli Parlimen Pandan).

“Mereka bekerja keras dan banyak membaca untuk jadi pembangkang yang berkesan. Saya tak nampak perkara ini dalam BN (Barisan Nasional),” katanya.

Yong merujuk kepada ketua Geng Baju Merah yang dikenali ramai kerana aksi buat kecohnya yang seringkali memainkan api perkauman.

Selepas sepuluh laporan polis, ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu melarikan diri daripada polis dan kini jadi orang buruan.

Jamal didakwa kerana menganggu ketenteraman awam selepas memecahkan botol arak di Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor tahun lepas.

Yong berkata beliau mahukan BN yang diterajui Umno menyediakan alternatif kepada setiap dasar yang dibentangkan Pakatan Harapan di Parlimen.

Parlimen akan mula bersidang pada 16 Julai ini, parti Yong, Gerakan kalah semua kawasan pada pilihan raya lepas.

Tetapi, beliau sendiri tidak yakin harapan itu akan dapat dipenuhi.

“Saya skeptik dengan mereka. Berapa ramai yang kaji rang undang-undang bila dibentangkan dalam Parlimen.

“Berapa ramai yang teliti bajet dan memahaminya?”

Yong juga mengatakan jika PAS dan Umno bekerjasama, Umno tidak akan ada pilihan lain selain menerima Islam ikut pemikiran PAS.

“Jika mereka bekerjasama, demokrasi tidak akan berfungsi dan ia tidak sihat,” katanya.

Katanya, pemimpin BN kini mengalami masalah defisit kepercayaan rakyat.

“Rakyat masih tertumpu kepada kesilapan dan kegagalan kerajaan terdahulu dan bekas perdana menteri (Najib Razak).

“Malah di media sosial kita diserang bertubi-tubi tak kisahlah apa kita buat atau cakap. Kita dilayan macam pemimpin yang korup.”

Yong menambah situasi itu menyukarkan BN selaku pembangkang.

“Bagaimanapun, selaku pembangkang kita perlu mengatasi defisit ini sebelum kita boleh jadi pembangkang yang berkesan, jika tidak ia akan terus jadi halangan dan kita tak boleh pergi jauh (selaku pembangkang).” – 9 Jun, 2018.

Iklan
Iklan