Iklan

Janganlah semua nak masuk kerajaan, kata presiden Ideas

Noel AchariamAsila Jalil6 years ago9th Jun 2018Berita
Tunku-Zain-Ideas-TMI2018
Walaupun ia pilihan peribadi, masih perlu tokoh utama pergerakan masyarakat sivil ini berada di luar kerajaan untuk jadi mekanisme semak imbang yang baik, kata Presiden Ideas Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Jun, 2018.
Iklan

PERGERAKAN masyarakat sivil perlu meneruskan peranan mereka menjadi mekanisme semak imbang kerajaan dan tidak terburu-buru menyertai pentadbiran Pakatan Harapan, kata Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.

Presiden Institut untuk Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) itu berkata selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, ramai tokoh terkenal NGO menyertai kerajaan.

“Selepas pilihan raya saya dapati hampir semua kawan saya daripada pergerakan masyarakat sivil utama negara mahu sertai kerajaan.

“Jika mereka sebahagian kerajaan mereka sudah tak boleh main peranan lagi (jaga masyarakat).

“Dan kerana itulah penting untuk pergerakan masyarakat sivil jadi bebas,” katanya pada forum Importance of a Strong Opposition for a Vibrant Democracy hari ini.

Antara tokoh utama yang menyertai kerajaan adalah ahli Jawatankuasa Reformasi Institusi Ambiga Sreenevasan, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan bekas rakan Ideas yang kini jadi ahli Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Ambiga adalah bekas presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Nasional (Hakam), Maria adalah bekas pengerusi Bersih 2.0 dan Wan Saiful adalah bekas ketua pegawai eksekutif Ideas.

Bagaimanapun, Zain mengatakan beliau bukanlah tidak bersetuju dengan keputusan mereka.

“Saya tak kata saya tak setuju. Bagus untuk ada orang yang cekap dalam kerajaan tapi tak bolehlah semua orang buat begitu.

 “Saya percaya kepada pilihan peribadi masing-masing dan mereka perlu buat keputusan (mana yang mereka mahu sertai).

“Tetapi tidak bagus untuk demokrasi jika semua pergerakan sivil sertai kerajaan.”

Menyentuh mengenai undang-undang menekan, Tunku Zain mengatakan ia perlu dimansuhkan dan perlu ada reformasi Parlimen.

“Semuanya soal semak imbang. Saya harap pembangkang (BN) boleh beri makna baru (kepada perjuangan mereka).”

Sidang pertama Dewan Rakyat akan berlangsung pada 16 Julai ini dengan Pakatan Harapan sebagai kerajaan. – 9 Jun, 2018.

Iklan
Iklan