Kritik sahaja kerajaan, jangan tunggu 100 hari, kata Maria
Iklan
RAKYAT perlu serta merta mengkritik kerajaan jika ada kesilapan tadbir urus, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.
Katanya, sudah wujud pelbagai pandangan berbelah bahagi rakyat misalnya mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tetapi ia tidak cukup lantang.
“Saya tak rasa ada tempoh masa untuk kritikan. Jika rasa tak betul, kata sahaja sekarang,” katanya di forum Importance of a Strong Opposition For a Vibrant Democracy di Kuala Lumpur hari ini.
Maria juga mengatakan rakyat tak perlu tunggu 100 hari yang dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan untuk lunaskan 10 janji pilihan rayanya kerana kritikan ketika itu sudah terlambat.
Bekas pengerusi Bersih 2.0 itu juga menambah yang beliau sedar kebimbangan rakyat sama ada kerajaan mampu melunaskan janjinya dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Saya rasa harapan sangat tinggi kerana kita sekarang ada ruang untuk berubah dan kita hendak perubahan sekarang.
“Bagaimanapun, perubahan ambil lebih banyak masa kerana kita bercakap tentang sistem yang membarah dengan korupsi dan ia akan ambil masa (untuk ubah),” katanya kepada wartawan selepas forum itu berakhir.
PH kini sedang berusaha memenuhi 10 janji dalam tempoh 100 hari mereka berkuasa.
Bagaimanapun, beberapa pihak mahukan rakyat berikan masa yang lebih kepada PH. Rafidah Aziz misalnya, mahu PH membuang tempoh masa itu kerana ia tidak praktikal.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga mengatakan tempoh perubahan akan mengambil masa lebih 100 hari kerana mereka masih menilai kerosakan yang dibuat pentadbiran Barisan Nasional terdahulu.
Maria juga mengatakan sekarang adalah masanya yang tepat untuk pembangkang duduk berbincang sebelum Parlimen bersidang 16 Julai nanti.
“Masanya sudah tiba untuk kita fikir apa jenis reformasi yang kita mahu bawakan ke dalam dan untuk Parlimen, ahli Parlimen dan parti politik dah patut mula fikir tentangnya.” – 9 Jun, 2018.