Umno mesti kekal parti Melayu, kata Tengku Razaleigh
Iklan
UMNO tidak perlu membuka keahliannya kepada bukan Melayu untuk terus kekal relevan selepas kalah dalam pilihan raya umum ke-14, kata veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, sebaliknya mesti terus kekal sebagai parti Melayu.
“Anda tidak boleh terima satu ada dua bukan Melayu seperti beberapa parti lain dan kata mereka adalah parti berbilang kaum.
“Saya boleh kata saya ini multi racial sebab saya pernah ada isteri bukan Melayu tetapi saya bukan multi racial dalam erti kata yang macam itu,” katanya pada sidang media di kediamannya di Kuala Lumpur, hari ini.
Tengku Razaleigh mengadakan sidang media bersama beberapa media pilihan hari ini selepas kuat desakan akar umbi Umno mahukan beliau menerajui parti itu dalam mencorakkan perubahan dan pemulihannya selepas PRU14.
Menurut Tengku Razaleigh, isu Umno membuka keahlian kepada kaum tidak timbul kerana Umno sebuah parti yang lahir sebagai parti Melayu.
“Ia (Umno) dilahirkan seperti itu. Umno dibentuk oleh perhimpunan Kongres Melayu pada tahun 1946 kerana ancaman terhadap kedaulatan negara,” katanya yang jelas menolak cadangan segelintir pemimpin Umno yang mahu parti itu dibuka keahlian kepada bukan Melayu.
Cadangan itu mula diutarakan oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dengan sebuah media Singapura beberapa hari selepas PRU14.
Selain Khairy, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Adnan Yaakob mahu Umno mengkaji semula Perlembagaan parti dan disaran membuka keahlian kepada kaum lain.
Katanya, Umno tidak boleh lagi dilihat sebagai parti yang hanya menjaga kepentingan kaum Melayu semata-mata
“Mungkin kita kena ikut balik semasa zaman Allahyarham Onn Jaafar yang buka (keahlian) kepada semua kaum,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda Umno, Shahril Hamdan turut menggesa Umno diberi nafas baharu dan tidak bergantung kepada retorik politik hak Melayu.
Pengasas Umno, Onn Jaafar pernah mencadangkan supaya keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira kaum pada tahun 1946.
Beliau kecewa dengan dasar-dasar perkauman yang dikatakan menjadi teras kepada Umno ketika itu.
Bagaimanapun, cadangan itu ditentang dan beliau meletak jawatan sebagai presiden Umno semasa persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam pada 1951.– 10 Jun, 2018