Dr Mahathir masih sama, hanya tukar baju, kata Tengku Razaleigh
Iklan
PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad masih individu yang sama yang pernah dilabel sebagai diktator semasa memerintah Malaysia selama 22 tahun dulu, kata veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.
Dr Mahathir hanya menukar parti daripada Umno kepada Bersatu untuk sekali lagi mentadbir kerajaan, katanya.
“Dia bukan diktator?” Tanya Tengku Razaleigh, yang pada akhir 1980-an mencabar kepimpinan Dr Mahathir dalam Umno tetapi kalah pemilihan parti.
“Lihat saja barisan parti yang hanya lahir beberapa tahun tetapi mengemudi kerajaan negeri di Kedah, Perak dan Johor dan lain-lain, dan anda lihat sahaja kerusi Parlimen yang mereka ada di Parlimen.
“Dia masih sama tetapi hanya pakai baju lain; baju lama sudah buruk.
“Dia masih seperti 23 tahun lalu, seperti itu 22 tahun dulu dan saya rasa dia masih lagi seperti itu sekarang,” katanya pada sidang media di kediamannya di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau menjawab soalan wartawan adakah Dr Mahathir yang kini menerajui kerajaan masih dianggap seorang pemimpin yang diktator.– 10 Jun, 2018.