Iklan

Ku Li belum putuskan tanding presiden Umno

Nabihah HamidMelati A. Jalil6 years ago10th Jun 2018Berita
Tengku razaleigh hamzah umno pc 04
Tengku Razaleigh Hamzah ketika bercakap pada sidang media yang diadakan di kediamannya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli 10 Jun, 2018
Iklan

TENGKU Razaleigh Hamzah enggan mengesahkan kedudukannya pada pemilihan Umno hujung bulan ini, apakah beliau bertanding atau tidak jawatan tertinggi sebagai presiden parti.

Katanya, beliau sudah tua dan sekarang ini masanya untuk generasi baru memimpin Umno kerana mereka “masa depan negara”.

Tetapi menjawab soalan lain, Tengku Razaleigh, yang pernah beberapa penggal mencuba nasib untuk jadi presiden Umno, membayangkan beliau sedia bertanding jika diminta oleh ahli-ahli Umno.

Pada sidang media di kediamannya hari ini, Tengku Razaleigh ditanya apakah beliau merasakan sudah terlalu tua untuk memimpin Umno.

“Saya rasa (saya begitu tua untuk pimpin parti). Ramai anak muda yang berbakat dengan pendidikan lebih bagus seharusnya diketengahkan. Kita perlu benarkan anak muda. Ini masa depan mereka.

“Mereka masa depan negara. Saya berusia 81 tahun, saya tinggalkan kabinet sejak 1985.

“Saya akan buat keputusan apabila masanya tiba nanti,” katanya.

Pada sidang media itu, Tengku Razaleigh diapit oleh beberapa pemimpin Pemuda Umno, termasuk Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Rafii dan Ketua Pemuda Umno Segamat, Bastien Onn yang mencalonkan diri bertanding naib ketua Pemuda.

Menurut Tengku Razaleigh, beliau mahu melihat terlebih dahulu semua calon yang menawarkan diri bertanding apakah mampu menguruskan Umno seperti yang sepatutnya.

Namun ditanya kemudian apakah beliau akan bertanding jawatan Nombor 1 itu, Tengku Razaleigh berkata: “Kalau orang suruh lompat, saya lompat.”

Ahli Parlimen Gua Musang itu bagaimanapun berkata beliau sedia jadi ketua pembangkang Barisan Nasional di Parlimen.

“Jika diperlukan, saya akan jadi lagi (ketua pembangkang),” katanya, yang pernah memegang jawatan itu semasa mengetuai Parti Semangat 46 selepas pilihan raya umum 1990.

Beliau turut menegaskan akan berbuat apa sahaja untuk memulihkan Umno kerana cintakan parti itu. 

“Saya sayang Umno, apa saja orang kata, saya sayang Umno dan tidak bercita-cita tinggi. 

“Bila saya sertai Umno, saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi ahli Parlimen. Bila saya lawan dengan Mahathir pada 1987 ia adalah kerana Tun Musa Hitam enggan bertanding.

“Semua yakinkan saya, kenapa tidak,” katanya. 

Pada sidang media itu, kelihatan beberapa pimpinan anak muda bersama Ku Li untuk menyatakan sokongan. 

Antaranya, cicit kepada Allahyarham Onn Jaafar iaitu Onn Hafiz Ghazi yang sebelum ini pernah membuat kenyataan Ku Li individu paling layak bertanding presiden Umno.

Onn Hafiz merupakan ketua Pemuda Umno Sembrong dan Adun Layang-Layang di Johor

Selain itu beberapa pimpinan anak muda juga menggesa Zahid memberi laluan kepada Ku Li untuk bertanding jawatan tertinggi parti itu. 

Calon Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata Zahid perlu berjiwa besar dan menyokong kepimpinan baharu untuk memulihkan semula Umno, lapor Astroawani.com. – 10 Jun, 2018

Iklan
Iklan