"Saya tak akan merangkak jumpa Dr Mahathir" – Ku Li
Iklan
TENGKU Razaleigh Hamzah berkata, kalau beliau memimpin Umno, beliau “tidak akan merangkak” pergi meminta nasihat tentang urusan Umno daripada Dr Mahathir Mohamad yang sudah tidak lagi sehaluan dengan parti.
“Hendak buat apa? Saya ketua parti lain dan dia (Dr Mahathir) tidak lagi bersama kita, dia dah tinggalkan parti kita.
“Dia tinggalkan parti kita dengan Anwar Ibrahim. Jadi tuan-tuan boleh buat kesimpulan sendiri, kenapa saya mesti merangkak jumpa dia?” katanya dalam satu sidang media di kediamannya, hari ini.
Tengku Razaleigh diminta mengulas tindakan pemangku presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bertemu dengan Dr Mahathir di pejabat perdana menteri itu pada Khamis lepas.
Dr Mahathir dalam wawancara dengan Sinar Harian menjelaskan Zahid bertemu dengannya untuk mendapatkan nasihat berhubung apa yang berlaku dalam Umno sehingga rakyat menolak parti itu dalam pilihan raya umum yang lalu.
“Dia nak tahu cara macam mana nak uruskan Umno. Jadi saya berterus terang bahawa Umno sudah mengkhianati orang Melayu. Saya ingatkan kepadanya, kita tubuh Umno untuk tolong orang Melayu tetapi kini Umno berubah dan mengutamakan kekayaan diri.
“Sebab itu Umno dibenci sekarang ini. Umno nak pulih susah. Dulu dipandang mulia sekarang dipandang jijik,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian, dalam wawancara pada hari yang sama.
Dua hari sebelum bertemu dengan Dr Mahathir, Zahid hadir berbuka puasa di kediaman Tengku Razaleigh dan ikut sama solat Maghrib dan Isya’ serta terawih.
Setakat ini hanya Zahid seorang yang mencalonkan diri bertanding jawatan Presiden Umno walaupun ada desas-desus Tengku Razaleigh juga bakal menawarkan diri untuk jawatan itu.
Tengku Razaleigh hari ini bagaimanapun enggan mengesahkan kedudukannya sebaliknya berkata beliau akan membuat keputusan apabila masanya tiba. Namun beliau juga berkata, beliau sudah tua untuk memimpin Umno dan Umno sebaiknya diterajui oleh generasi muda “masa depan negara”.– 10 Jun, 2018