Iklan

PM prihatin kebajikan masyarakat India Malaysia, kata Kulasegaran

Gan Pei Ling6 years ago10th Jun 2018Berita
M kulasegaran tmikamal 03
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan memberikan tumpuan istimewa kepada masalah yang dihadapi masyarakat India, kata Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Jun, 2018.
Iklan

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad akan memberikan tumpuan istimewa kepada masalah yang dihadapi masyarakat India, kata Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.

Beliau berkata Kabinet sudah menubuhkan jawatankuasa berhubung hal ehwal kaum India yang diketuai Dr Mahathir sendiri pada minggu lalu.

“Beliau (Dr Mahathir) memberitahu saya supaya jangan lupa, ini adalah apa yang dijanjikan kita kepada mereka,” kata Kulasegaran di hadapan kira-kira 400 usahawan kaum India dalam satu persidangan yang diadakan di Perbadanan Kesenian Malaysia di Brickfields tengahari tadi.

Kaum India Malaysia antara lima masyarakat yang diberikan tumpuan istimewa oleh Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya mereka.

Antara 22 janji yang dibuat PH kepada masyarakat itu termasuk langkah mengurangkan kemiskinan, menyelesaikan isu kaum India tidak bernegara dalam tempoh 100 hari memenangi Putrajaya, menyediakan bantuan penuh untuk sekolah Tamil, dan menyediakan ruang yang secukupnya untuk pembinaan kuil dan kubur Hindu.

Kulasegaran berkata jawatankuasa baharu berhubung hal ehwal kaum India itu akan membincangkan mengenai bagaimana untuk memenuhi janji-janji tersebut dalam tempoh dua minggu akan datang.

Tambah beliau kerajaan PH baharu akan memperhalusi Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang diwujudkan kerajaan terdahulu.  

“Pelan tindakan itu ada masalah yang tersendiri tetapi idea yang baik akan dikekalkan,” katanya.

“Saya paling prihatin terhadap golongan B40 (isi rumah bawah 40%). 60% teratas hidup selesa.

“Golongan bawah 40% ini. Kami perlu penuhi keperluan mereka,” katanya yang juga merupakan ahli Parlimen Ipoh Barat.

Bekas pemegang kad pengenalan (IC) merah yang lahir di ladang getah di Sitiawan, Perak itu berkata beliau faham hidup dalam kemiskinan. 

“Saya bekas pemegang IC merah. Kemiskinan tidak mengenal warna kulit. Semasa kecil, saya sering tidak makan tengahari.

Tambahnya, beliau mahu sekolah rendah Tamil menjadi pusat pendidikan yang cemerlang kerana anaknya turut bersekolah di sekolah jenis itu.

Walaupun PH tidak mampu untuk memenuhi kesemua janjinya kepada masyarakat India dengan segera berikutan langkah berjimat cermat kerajaan bagi membayar hutang negara berjumlah RM1 trilion, Kulasegaran berkata PH tetap komited untuk mengekalkan sebuah kerajaan yang bersih.

“Kami tidak boleh mohon walaupun seinci tanah kerajaan. Kami tidak akan terima sebarang gelaran.

“Kamu boleh panggil saya Kula sehingga habis penggal saya. Kamu adalah ‘tauke’, saya hanya ‘kuli’. Kamu yang letak saya di sini untuk berkhidmat untuk kamu,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh hadirin. – 10 Jun, 2018.

Iklan
Iklan