Umno kalah dalam perang persepsi, kata Ku Li
Iklan
UMNO kalah dalam permainan persepsi dengan masyarakat umum yang menyebabkan kejatuhan parti itu, kata Tengku Razaleigh Hamzah.
Veteran Umno itu berkata, kos sara hidup dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) merupakan isu utama yang membawa pembangkang menawan Putrajaya tanpa ragu.
“Bagi saya ini (kos sara hidup dan GST) adalah faktor utama menyebabkan masyarakat bandar dan luar bandar tidak memihak dan menyokong pada kita.
“Selain itu kita kalah dalam perang persepsi,” kata Ahli Parlimen Gua Musang yang dikenali sebagai Ku Li dalam satu sidang media hari ini.
Tidak seperti Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Ku Li enggan menjelaskan bila ditanya sama ada bekas presiden Umno Najib Razak dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah mangsa permainan persepsi.
“Saya tidak mahu ambil pusing tentang sesuatu isu kerana banyak khabar angin terhadap kami semasa pilihanraya,” katanya yang mengakui BN gagal mengatasi masalah persepsi tersebut.
“Dan tiada apa yang dominan, satu-satunya perkara yang dominan adalah perdebatan sama ada kawasan bandar dan luar bandar adalah persoalan bagaimana kita selesaikannya,” katanya dan menambah adalah jelas parti gagal menguruskan persepsi.
Khairy sebelum ini berkata kejatuhan Umno pada Pilihan Raya Umum ke 14 berpunca daripada keputusan parti untuk tidak berdepan dengan bekas presiden parti Najib Razak berhubung skandal 1MDB.
Khairy berkata kegagalan kolektif pemimpin parti dan menteri kerajaan untuk meminta jawapan berhubung skandal kewangan berbilion ringgit yang membawa kepada kekalahan teruk Umno dan BN pada pilihan raya umum lalu.
Ku Li bagaimanapun berkata parti itu menerima hakikat bahawa mereka tewas pada pilihan raya dan memohon maaf kepada semua rayat Malaysia atas kesilapan parti.
“Kami minta maaf kepada rakyat diatas kegagalan dan kesilapan lalu. Kami ikhlas minta maaf,” mohon Ku Li yang berkata yang walaupun tidak bercakap bagi pihak parti komponen lain.
Beliau juga percaya bahawa Umno akan kembali sebagai pembangkang yang kuat selepas pemilihan parti yang akan diadakan 30 Jun ini.
“Kami akan buat perubahan dan kami akan kembali sebagai sebuah organisasi yang kuat,” katanya. – 10 Jun, 2018