Zuraida nafi wujud kem Anwar, Azmin dalam PKR
Iklan
KETUA Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menafikan wujud “kem” Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali dalam parti itu.
“Tidak, itu adalah persepsi orang ramai. Kebetulan portfolio yang diberikan kepada (Mohamed Azmin Ali) iaitu menteri hal ehwal ekonomi untuk menteri mengkaji, melihat dan sebagainya (hal ehwal ekonomi).
“Mungkin selepas itu peringkat-peringkat lain juga akan terjadi, untuk dikaji (dan) dilihat apa yang harus dilakukan kepada agensi-agensi di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan OPS Raya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di MyTown, Cheras hari ini.
Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata mana mungkin beliau sebahagian dari kem Azmin untuk menentang Ketua Umumnya, Anwar.
“Tidak ada kemlah, mana ada kem.
“Oh, saya lawan saya punya K.U (Ketua Umum)?” katanya berseloroh.
Laporan The Straits Times baru-baru ini melaporkan, Dr Mahathir Mohamad melantik Azmin sebagai menteri kerana mahu naib presiden PKR itu mempunyai lebih kuasa bagi membendung pengaruh Anwar.
Azmin dan Zuraida dikatakan berada dalam kem PKR menentang Anwar dan isterinya, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Kewujudan kem itu turut dinafikan Dr Wan Azizah. – 11 Jun, 2018.