Iklan

Pemilik PPR dilarang sewa kepada pihak ketiga, kata menteri

Yasmin Ramlan6 years ago11th Jun 2018Berita
Zuraida-TMI2018
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengatakan perjanjian PPR melarang penyewaan kepada pihak ketiga. Tetapi beliau tidak mengulas sama ada pengusiran PPR melibatkan penyewa tempatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Jun, 2018.
Iklan

PEMILIK unit Program Perumahan Rakyat (PPR) bukan sahaja dilarang menyewakan premis mereka kepada pihak ketiga sama ada penyewa asing mahupun tempatan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

“Undang-undang penyewaaan PPR ini, ia mesti dimiliki oleh pemilik dan dia tak boleh disewakan.

“Ini ada dalam perjanjian yang tidak dipatuhi dan tidak dikuatkuasakan.

“Ketika ini saya mintak penguatkuasaan itu dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan OPS Raya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di MyTown, Cheras hari ini.

Minggu lalu, beliau berkata sekiranya pemilik unit gagal mengosongkan premis berkenaan dalam tempoh 90 hari, tindakan pengusiran terhadap penyewa warga asing akan dikuatkuasakan dan pemilik bakal berdepan dengan penalti dan hak pemilikan rumah ditarik balik.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelas lanjut sama ada pengusiran itu turut melibatkan warga tempatan.

Zuraida juga menambah, pegawai-pegawai yang terlibat telah meletakkan poster di semua PPR yang dikawal selia KPKT untuk memberi makluman sewajarnya kepada penduduk, penyewa dan pemilik.

Dalam hal berlainan, Exco Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo hari ini dilaporkan berkata yang pihak berkuasa tiada peruntukan untuk mengusir pendatang asing yang menyewa rumah kos rendah dan sederhana selagi Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 tidak dipinda. – 11 Jun, 2018.

Iklan
Iklan