Iklan

Kementerian Pendidikan beku pertukaran kakitangan di peringkat daerah, negeri

Asila Jalil6 years ago11th Jun 2018Berita
Maszlee malik 070618 tmiseth 05
KEMENTERIAN Pendidikan mengumumkan pembekuan segera pertukaran melibatkan kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara, berikutan siasatan yang dijalankan berhubung dakwaan kedua-dua jabatan itu digunakan sebagai alat politik oleh kerajaan terdahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2018.
Iklan

KEMENTERIAN Pendidikan mengumumkan pembekuan segera pertukaran melibatkan kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara, berikutan siasatan yang dijalankan berhubung dakwaan kedua-dua jabatan itu digunakan sebagai alat politik oleh kerajaan terdahulu.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata keputusan itu dibuat susulan dakwaan bahawa terdapat lantikan politik di peringkat daerah dan negeri menerusi dua jabatan tersebut.

“Saya juga sudah mengarahkan pegawai tertinggi kementerian untuk menyemak semula semua kenaikan pangkat dan pertukaran di peringkat JPN dan PPD di seluruh negara yang mana berlaku dalam tempoh dua bulan lepas,” katanya kepada pemberita di Kementeri Pendidikan Tinggi hari ini. 

Dr Maszlee berkata beliau kecewa dengan perkara itu kerana menurutnya institusi kerajaan tidak harus dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.

“Dengan tindakan ini, saya berharap rakyat akan menerima mesej yang jelas bahawa kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengaruh tidak sihat dalam pentadbiran pendidikan negara, terutama mereka yang sengaja mahu menyusahkan kami untuk melaksanakan pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan selari dengan dasar Pakatan Harapan,” katanya.

Tambah beliau, tiga negeri dikenal pasti terlibat secara aktif dalam aktiviti tersebut. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara lanjut.

Minggu lepas kementerian berkenaan berkata akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang didapati menyalahgunakan kuasa dalam memproses pertukaran guru, susulan dakwaan yang tular di Facebook.

Maszlee sebelum ini berkata perkara itu dipandang serius kerana ia melibatkan integriti pegawainya dan beliau turut mahu siasatan dalaman dijalankan ke atas isu tersebut.

Maszlee berkata laporan polis telah dibuat oleh pegawai tertinggi kementerian pada 3 Jun untuk menyiasat pengguna Facebook dengan nama “Nur Amirah” yang dikatakan membuatkan satu kes salah guna kuasa melibatkan pembayaran untuk pemprosesan permohonan pertukaran guru menjadi tular. – 11 Jun, 2018.

Iklan
Iklan