Iklan

Ketua pengarah Tourism Malaysia mengesahkan pegawai SPRM rampas dokumen

Gan Pei Ling6 years ago11th Jun 2018Berita
Iklan

KETUA Pengarah Tourism Malaysia, Mirza Mohammad Raiyab mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu ibu pejabat Tourism Malaysia di Putrajaya dan mengambil beberapa dokumen minggu lepas.

“Awak perlu dapatkan maklumat dari SPRM. Dokumen ada pada mereka dan mereka sedang menelitinya,” Mirza memberitahu wartawan di Menara Ilham di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan memberitahu lanjut mengenai serbuan SPRM itu.

Minggu lepas The Star melaporkan SPRM melawat ibu pejabat Tourism Malaysia pada 6 Jun bagi menyiasat perjanjian perolehan yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat tempatan.

Bekas pengerusi Tourism Malaysia, Wee Choo Keong pada Mei 31 mendakwa kontrak itu melanggar peraturan perolehan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Hari ini Wee menggesa Pengerusi Tourism Malaysia, Siew Ka Wai meletak jawatan atas dakwaannya itu tetapi Siew dan Tourism Malaysia menafikan sebarang salah laku.

Wee berkata hasil pemeriksaannya menunjukkan penerima projek itu adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan tidak sampai lima bulan selepas menerima kontrak yang bertujuan untuk memperomosikan Malaysia di media sosial.

Tambah Wee, pemegang saham syarikat tersebut termasuklah pengurusan tertinggi Tourism Malaysia. – 11 Jun, 2018. 

Iklan
Iklan