Iklan

Kementerian Pendidikan siasat projek tenaga solar 

Asila Jalil6 years ago11th Jun 2018Berita
Maszlee malik 070618 tmiseth 01
Dr Maszlee Malik berkata beliau sudah mengarahkan pegawai untuk menyiasat dan memberi saya taklimat penuh mengenainya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2018.
Iklan

KEMENTERIAN Pendidikan kini sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam projek tenaga solar bernilai RM9.5 bilion untuk 369 buah sekolah di Sarawak.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata beliau sudahpun mengarahkan pegawai-pegawai di kementeriannya mencari penyelesaian bagi projek itu serta memastikan ianya mengikuti undang-undang.

“Kontrak ini melibatkan wang rakyat yang banyak dan mereka mahu kita menjalankan tanggungjawab,” beliau memberitahu wartawan di Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini.

Semalam, Sarawak Report mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak telah menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga solar kepada 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak.

Najib dilaporkan telah melanggar prosedur tetap di Kementerian Pendidikan supaya projek itu diberikan tanpa melalui tender terbuka kepada sebuah syarikat sewa kereta di Bintulu iaitu Jepak Holdings Sdn Bhd.

Laporan itu juga mendakwa kakitangan kementerian yang menyuarakan kebimbangan mereka berkenaan projek tersebut telah dpindahkan dan pihak berkuasa tidak mengendahkan laporan polis mereka.

“Saya dapat tahu mengenai beberapa kelemahan dalam projek itu awal minggu lepas, sebelum ia tular baru-baru ini.

“Saya sudah segera mengarahkan pegawai untuk menyiasat dan memberi saya taklimat penuh mengenainya,” kata Maszlee.

Beliau menambah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memberitahu sebarang butiran mengenai siasatan memandangkan ia masih lagi berjalan.

“Saya juga mengarahkan semua pegawai untuk memberi kerjasama penuh supaya mereka yang bersalah boleh dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – 11 Jun, 2018.

Iklan
Iklan