Harga beras sudah cukup murah, kata Bernas
Iklan
TINDAKAN menamatkan monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk mengimport beras tidak akan membantu menurunkan harga beras yang sudah sedia rendah, kata ketua pegawai eksekutif agensi persekutuan Ismail Mohamed Yusof.
“Harga beras sudah murah. 60% beras adalah beras tempatan, jadi apabila anda bercakap harga lebih murah, ini bermakna pendapatan lebih rendah bagi petani,” kata Ismail kepada pemberita pada hari ini.
“Seperti sekarang, semangkuk nasi kosnya 26 sen, jadi berapa murah lagi yang anda mahukan?”
Kenyataan Ismail itu susulan pengumuman minggu lalu oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub yang monopoli Bernas selama tiga hingga empat dekad mengimport beras akan berakhir tidak lama lagi, dalam usaha membuka pasaran beras dan diharapkan dapat menurunkan harganya.
Ismail berkata Bernas menyediakan satu sistem yang berkesan dengan hakikat negara tidak pernah mengalami kekurangan beras.
“Dari segi padi, jika anda lihat sejak Bernas diwujudkan, kita tidak pernah mempunyai masalah mengenai bekalan sendiri. Kita sentiasa mempunyai beras di pasaran,” katanya di Menara Ilham pagi ini selepas bertemu dengan Majlis Penasihat Kerajaan.
“Beras kita adalah antara yang paling murah di rantau ini, padi kita adalah antara yang tertinggi di rantau ini. Ia bermakna sistemnya berkesan,” katanya. – 12 Jun, 2018.