Kementerian Pengangkutan kaji semula sistem AES
Iklan
KEMENTERIAN Pengangkutan akan mengkaji semula mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), kata Anthony Loke.
“Kita sedang menelitinya tetapi belum ada keputusan kerana ia melibatkan implikasi lain.
“Dan kita perlu mengkajinya dahulu sebelum membuat pengumuman,” kata Loke pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan sama ada sistem itu akan dibatalkan.
“Saya sudah meminta pegawai kementerian, jabatan yang berkaitan memberi saya cadangan konkrit dan saya akan membincangkan pilihan-pilihan tersebut dengan pegawai kementerian, kemudian mereka akan bawa kepada Kabinet untuk diputuskan.
“(Keputusan) akan diumumkan secepat mungkin, dalam tempoh satu atau dua bulan kita akan buat keputusan mengenai AES,” kata Loke.
Loke sebelum itu ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula perjanjian untuk mengurus dan mengendalikan 21 buah kamera AES yang dipasang di seluruh negara.
“Kita belum mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang mempunyai saman AES tertunggak tetapi kita akan membuat keputusan mengenai bagaimana untuk menguruskan saman-saman itu,” katanya.
Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini diselar kerana tidak telus dalam pemberian kontrak AES.
Pada Disember 2011, ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd dianugerahkan kontrak selama 66 bulan. Perancangan asal skim AES ialah memasang sebanyak 1,093 buah kamera di seluruh negara.
Menurut laporan The Edge, pada April 2014, Bousted Holdings Bhd telah membayar sebanyak RM199 juta bagi 50% saham dalam Irat Properties Sdn Bhd, yang memiliki sepenuhnya ATES dan Beta Tegap. – 12 Jun, 2018.