Iklan

Umno tak perlu masuk PAS untuk relevan, kata Pemuda Umno

Yasmin Ramlan6 years ago13th Jun 2018Berita
khairul-awan-haron Umno-BN 20170908 hasnoor 004
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun (kiri) berkata tiada sebab Umno masuk PAS sedangkan parti itu menang kerusi paling banyak di Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2018.
Iklan

UMNO tidak perlu masuk PAS atau membuka keahliannya kepada bukan Melayu untuk kembali relevan selepas rakyat menolak parti itu pada pilihan raya umum lalu, kata Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun.

Katanya, Umno tidak akan mati kalau tidak masuk parti Islam itu, seperti yang dibayangkan pimpinan PAS, Nik Mohamad Abduh Abdul Aziz.

Malah calon ketua Pemuda Umno itu melihat tiada sebab untuk Umno masuk PAS sedangkan parti itu menang kerusi paling banyak di Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Mana mungkin parti politik yang mempunyai sokongan 54 kerusi ini nak keluar dan masuk PAS, sedangkan kedudukan PAS dalam Parlimen pun tak sebanyak Umno,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Khairul Azwan bagaimanapun berkata, beliau menghormati pandangan Nik Abduh tetapi mengingatkan Umno ada cara dan pendekatannya sendiri untuk bangkit semula, dengan muafakat ahli-ahlinya ke arah perubahan.

Semalam, Nik Abduh menulis di Facebook, PAS masuk terbuka luas untuk ahli Umno kerana parti itu akan mati kalau memilih untuk bergerak secara sendiri selepas ini.

Umno mempunyai 54 daripada 60 kerusi BN yang tinggal di Parlimen selepas empat komponen Sarawak meninggalkan gabungan itu semalam.

“Umno masih wujud, kita tak perlu menyertai mana-mana parti,” tegas Khairul Azwan.

Umno juga tidak perlu membuka keahlian kepada kaum lain kerana parti komponen Barisan Nasional (BN) yang masih ada cukup untuk mewakili kaum lain, katanya lagi.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar BN membuka keahlian langsung kepada semua kaum, tanpa perlu mereka menjadi ahli parti-parti komponen BN.

“Keahlian langsung dan terbuka kepada pelbagai kaum ke dalam BN adalah lebih sesuai. Lagipun yang bertanding pada pilihan raya adalah BN,” katanya.

BN yang sebelum ini mempunyai 13 komponen sejak semalam tinggal empat parti saja – Umno, MCA, MIC dan Gerakan.

Semalam, empat parti di Sarawak – Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) – keluar BN untuk mewujudkan kerjasama baharu parti politik tempatan negeri, Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Susulan keputusan itu, Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor membayangkan BN harus bersedia berdepan kemungkinan dibubarkan, bergantung pada perbincangan selepas Pemangku Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi pulang daripada mengerjakan umrah.

“Apa jua keputusan sama ada BN ini dibubar atau diteruskan, terserah kepada kesedaran dan keikhlasan pemimpin-pemimpin parti.

“BN masih boleh wujud kalau parti bermuafakat untuk bekerjasama,” kata Khairul Azwan.

Exco Pemuda Umno, Armand Azha Abu Hanifah turut senada dengan Khairul Azwan apabila berkata, inilah masanya parti-parti yang tinggal dalam BN bersatu dan bersama-sama menyusun langkah sebagai satu pasukan.

“Dalam keadaan kita mengalami kekalahan, ini bukan masa untuk kita menunding jari untuk cari kesalahan masing-masing terhadap satu sama lain,” katanya.

Beliau melihat tindakan empat parti Sarawak itu adalah kerana keperluan rakyat selepas berlaku peralihan pimpinan di peringkat Persekutuan.

“Saya harap satu hari kita kembali bertaut bersama. Keputusan ini membuatkan BN harus bekerja lebih dua kali ganda pada PRU15 untuk kita bergabung semula sebagai sebuah parti komponen,” katanya. – 13 Jun, 2018.

Iklan
Iklan