Iklan

Dr Mahathir ajak rakyat berjimat bersama kerajaan

Gan Pei Ling6 years ago14th Jun 2018Berita
Tun mahathir tmikamal 01
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyeru rakyat Malaysia supaya bersabar dengan langkah penjimatan yang diambil kerajaan Pakatan Harapan bagi mengurangkan hutang negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2018.
Iklan

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menyeru rakyat Malaysia supaya bersabar dengan langkah penjimatan yang diambil kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi mengurangkan hutang negara.

Dalam perutusan Hari Raya yang disiarkan secara secara langsung di stesen RTM 1 malam ini, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menggesa rakyat agar mengambil pendekatan berjimat bersama kerajaan, sambil menambah yang ia akan “menghasilkan kesejahteraan hidup kita di masa hadapan”.

“Kami berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul.

“Tetapi untuk mencapai matlamat ini, langkah penjimatan perlu diambil, dan wang yang tidak halal tidak lagi boleh diagih kepada rakyat untuk menawan hati,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH terkejut apabila mendapati hutang negara, termasuk yang dijamin kerajaan, mencecah RM1 trilion.

Dr Mahathir, yang baru pulang daripada lawatan kerja di Jepun, berkata Malaysia mampu mengatasi kesulitan kewangan dengan semangat yang kuat.

“Percayalah, apa yang dihadapi oleh kita sekarang, tidak seberat apa yang dihadapi rakan-rakan kita di beberapa buah negara lain terutamanya di Timur Tengah,” katanya.

Tanpa menyebut mana-mana negara, beliau berkata demokrasi yang diharapkan tidak tercapai apabila perang saudara berlaku dan menghancurkan negara itu.

Dr Mahathir mengingatkan rakyat Malaysia yang mereka masih boleh meraikan perayaan dengan selesa selepas kerajaan bertukar kepimpinan secara aman pada 9 Mei.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidulfitri, memohon maaf atas kesalahan yang dilakukannya dan menggesa rakyat yang bukan beragama Islam agar turut bersama-sama meraikan perayaan itu dengan rakan mereka yang beragama Islam.

“Marilah kita bersama-sama memupuk semangat bersatu padu antara kaum di negara ini sempena Raya Aidilfitri,” katanya. – 14 Jun, 2018.

Iklan
Iklan