Iklan

Pembaharuan elak 1MDB dari berulang, kata Ambiga

Asila Jalil6 years ago19th Jun 2018Berita
Public forum tmifarhan 05 (1)
Ahli IRC Ambiga Sreenevasan tugas jawatankuasa itu adalah bagi memastikan pembaharuan dalam institusi dan agensi bukan untuk menyiasat 1MDB.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2018
Iklan

TUGAS Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) adalah untuk melaksanakan pembaharuan bagi mengelakkan kes seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada berulang, kata ahli jawatakuasa berkenaan Ambiga Sreenevasan.

Katanya, bukan tugas jawatankuasa berkenaan untuk menyiasat 1MDB tetapi bagi memastikan pembaharuan dalam institusi dan agensi.

IRC juga memberikan tujuh syor segera kepada Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), pada pertemuan hari ini, dan keutamaan diberikan kepada membanteras rasuah, tambahnya. 

“Tidak, kita tidak melihat kes 1MDB. Kita sudah tentunya menumpukan kepada pembaharuan institusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi lain seperti polis dan Jabatan Peguam Negara. 

“Kita lihat kepada semua itu kerana kami tidak mahu lagi mempunyai 1MDB di negara ini,” katanya kepada pemberita di Menara Ilham selepas pertemuan dengan MPK hari ini. 

“Isu paling besar adalah rasuah, tanpa keraguan, dan juga melantik orang yang betul untuk institusi ini. Itu keutamaan,” kata Ambiga yang juga presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam). 

Malaysia membuka semula siasatan ke atas 1MDB selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya 9 Mei. 

Kerajaan turut menubuhkan pasukan khas 1MDB yang terdiri daripada bekas peguam negara Abu Talib Othman dan Abdul Gani Patail, Ketua Pesuruhjaya SPRM Shukri Abdull, dan pendahulunya Abu Kassim Mohamed dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Abdul Hamid Bador.

Seorang lagi ahli IRC, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Mah Weng Kwai berkata IRC juga menghantar laporan biasa kepada MPK dan yang terakhir adalah pada pertengahan Julai. 

“Laporan (keempat dan) terakhir akan siap sebelum pertengahan Julai. Kesemua laporan akan dipertimbangkan oleh MPK dan kerajaan. 

“Sebaik pembaharuan berlaku, saya rasa ia bukan sahaja aspek perundangan tetapi pastinya melibatkan sehingga kedudukan ekonomi negara, semua ini akan menjadi sebahagian daripada pembaharuan,” katanya. 

Mah berkata, IRC menerima banyak input daripada masyarakat yang banyak membantu. 

“Tugas kami menjadi lebih mudah kerana sikap positif daripada semua pihak yang tampil dan bercakap kepada kami. 

“Semua orang memberi idea yang baik dan mereka mahu terus kehadapan daripada situasi buruk sebelum ini,” katanya.

Ditanya sama ada IRC akan melihat pembaharuan kehakiman, Ambiga berkata jawatankuasa itu sedang mengkaji struktur dan proses daripada meneliti individu.

IRC ditubuhkan pada 15 Mei dan membentangkan dapatannya serta syor kepada MPK yang mana majlis itu akan membentangkan laporannya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. 

Selain Ambiga dan Mah, jawatankuasa itu juga terdiri daripada ahli lain iaitu hakim Mahkamah Rayuan bersara K.C. Vohrah, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brigedier Jeneral (B) Mohamed Arshad Raji dan profesor undang-undang Universiti Malaya Shah Saleem Faruqi. – 19 Jun, 2018

Iklan
Iklan