Aktivis ceburi politik untuk bantu tangani nasib pelarian
Iklan
PEJUANG hak pelarian, Heidi Quah berharap dapat menggunakan pengalamannya sekian lama bersama pelarian di Malaysia dapat membantu membangunkan dasar kebangsaan seimbang yang akan membantu menangani masalah komuniti itu.
Quah mengumumkan penyertaannya sebagai ahli DAP hari ini berkata, beliau percaya parti itu mampu menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai status serta keadaan ratusan ribu pelarian di Malaysia.
Perkara yang menjadi keutamaannya adalah kebimbangan terhadap kesukaran dialami anak-anak pelarian dalam mendapatkan pendidikan asas, masalah yang ingin dibincangkan dengan pembuat dasar sebaik sahaja berpeluang.
“Apa yang kami mahukan adalah memperoleh peluang menghantar anak-anak ini ke sekolah kerajaan dan mengintegrasikan komuniti pelarian ini ke dalam komuniti tempatan, dan melihat bagaimana komuniti tempatan dapat menyokong mereka lebih baik,” kata wanita berusia 24 tahun itu pada sidang akhbarnya hari ini.
“Kami percaya komuniti pelarian mempunyai banyak kemahiran yang ditawarkan dan nilai untuk diberikan,” katanya.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), terdapat sekitar 157,580 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia setakat Mei 2018.
Kerajaan Malaysia tidak mengesahkan Konvensyen Pelarian 1951, dan pada masa ini tiada undang-undang bagi pelarian bagi menentukan hak dan status mereka, menyebabkan ramai daripada mereka keadaan terawang-awang ketika tinggal di negara ini.
Ini menyebabkan rama pelarian, yang terpaksa bekerja secara tidak sah untuk menyara keluarga mereka, terdedah kepada penderaan dan eksploitasi oleh majikan.
Quah berkata kini terdapat 40,200 pelarian di Malaysia di bawah umur 18 tahun, yang dinafikan pendidikan sewajarnya kerana status pelarian mereka.
Beliau menubuhkan sebuah kumpulan bukan kerajaan Perlindungan untuk Pelarian enam tahun lalu, dan ia membolehkan beliau menerima anugerahk pingat Queen’s Young Leaders daripada Queen Elizabeth II pada Jun tahun lepas.
Beliau merupakan penerima tunggal Malaysia bagi penghargaan berprestij itu yang mendapat pengiktirafan kerana usahanya membantu pelarian di negara ini.
Quah berkata beliau juga berminat untuk menangani isu-isu lain seperti pekerja asing, pemerdagangan seks dan wanita yang terlibat dalam pelacuran, tetapi mengatakan masyarakat perlu dididik dengan betul sebelum sesuatu polisi berkesan.
“Banyak kali ada pihak berlainan yang ingin membuat perubahan tetapi mereka tidak tahu apa yang berlaku di lapangan, jadi perkara pertama adalah pendidikan dan pemahaman mengenai apa yang berlaku,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita keputusan menyertai DAP dibuat selepas mempertimbangannya selama setahun.
“Saya memilih untuk menyertai DAP kerana saya sangat percaya pada semua nilai yang ditonjolkan parti. Sebuah parti yang mengamalkan prinsip hak asasi manusia, kesaksamaan, keadilan sosial dan ekonomi,” katanya.
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, yang hadir di sidang akhbar, berkata penyertaan Quah ke dalam DAP akan membantu untuk mewujudkan kesedaran lebih besar kepada generasi muda Malaysia mengenai isu-isu yang mempengaruhi negara.
“Ini adalah seruan kepada golongan muda, jika mereka mahu mengambil satu langkah lagi dan bukan hanya bekerja sebagai NGO, tetapi mereka mahu membantu dalam soal perundangan sebagai contohnya, maka menyertai parti politik adalah langkah seterusnya,” katanya hari ini. – 20 Jun, 2018.