5 kementerian, Unicef gabung tenaga atasi masalah kesejahteraan kanak-kanak
Iklan
LIMA kementerian bekerjasama untuk menangani masalah kanak-kanak bantut dan kesejahteraan kanak-kanak negara ini dengan bantuan Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef).
Lima kementerian itu- kesihatan, pendidikan, pembangunan luar bandar, dalam negeri dan wanita, keluarga dan pembangunan komuniti- memutuskan untuk memperkenalkan kerangka asas bagi pembentukan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-Kanak.
“Mesyuarat antara kementerian sudah dipanggil untuk menyelia dan meluahkan hasrat politik dan keazaman kita untuk mengatasi masalah ini ke akar umbi,” kata Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media di pejabatnya Putrajaya hari ini.
Katanya, wujud keperluan untuk membangunkan pendekatan berintegrasi bagi menangani masalah kanak-kanak bantut di negara ini kerana ia bukan sahaja merupakan isu kesihatan tetapi juga masalah sosial.
“Kita tak boleh kata kita masyarakat penyayang jika kita abaikan dan tak peduli mereka yang sangat memerlukan perhatian.
“Kita tak boleh bercakap tentang membangunkan masa depan yang lebih baik jika satu daripada tiga dan satu daripada empat kanak-kanak negara ini hidup dalam persekitaran miskin,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata tempoh sebulan diberikan untuk hala tuju itu dirangka dan ia melibatkan penilaian data mencukupi dan mengenalpasti perkara yang diperlukan untuk mengatasi masalah itu.
Katanya, kerajaan sudah banyak melakukan kerja kebajikan berkos tinggi bagi menangani masalah itu.
“Kita sudah bergerak daripada kebajikan kepada kelestarian (program),” katanya menambah yang hala tuju itu adalah nilai tambah kepada aktiviti yang sedang berlangsung sekarang bagi menangani masalah itu/
Turut hadir adalah Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, wakil Unicef Amjad Rai, Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan setiausaha politik kementerian terlibat.
Laporan bertajuk “Kanak-Kanak Pinggiran: kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di rumah pangsa di Kuala Lumpur” yang diterbitkan pada 26 Februari mendapati kanak-kanak yang tinggal di rumah pangsa kos rendah mengalami masalah kekurangan zat, pendidikan, keselamatan dan lain-lain.
Kajian itu dijalankan bagi mengukur keberkesanan program yang dijalankan kerajaan untuk golongan miskin bandar.
Ia mendapati 34% kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Kelantan mengalami tumbesaran terbantut, diikuti Terengganu dan Pahang (26%) dan Putrajaya, Perak, Sabah serta Labuan (24%).
Sementara peratusan tumbesaran terbantut di Sarawak pula dicatatkan berjumlah 23%, diikuti Perlis 21%, Pulau Pinang 20%, N. Sembilan 19%, Kedah 18%, Melaka 14%, Johor 12% and Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 11%.– 21 Jun, 2018.