Iklan

Kerajaan sedang cari jalan kurangkan kos MRT2, kata CEO

Asila Jalil6 years ago22nd Jun 2018Berita
Shahril mokhtar mrt tmi 02
Kami berbincang bagaimana boleh kurangkan kos Jajaran 2. Kami sedang berusaha sehabis baik kurangkan kos untuk jimatkan duit rakyat. kata CEO MRTCorp Shahril Mokhtar selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Jun, 2018.
Iklan

KERAJAAN sedang mencari jalan untuk mengurangkan kos penyiapan projek Aliran Transit Massa 2 (MRT2) selepas membatalkan seketika jajaran ketiga projek itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif MRTCorp Shahril Mokhtar.

Selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan hari ini, Shahril mengesahkan yang MRT3 akan dibatalkan seketika kerana buat masa sekarang syarikat dan kerajaan sedang berusaha mencari jalan mengurangkan kos MRT Jajaran 2.

“(Jajaran 3) dibatalkan buat masa sekarang. Kami berbincang bagaimana boleh kurangkan kos Jajaran 2,” katanya kepada wartawan di luar Menara Ilham, Kuala Lumpur hari ini.

Shahril bagaimanapun tidak menyatakan sasaran pengurangan

“Kami sedang berusaha sehabis baik kurangkan kos untuk jimatkan duit rakyat,” katanya.

Pada September lepas, bekas perdana menteri Najib Razak mengumumkan Jajaran MRT2 akan menelan belanja RM32 bilion.

Jajaran MRT2 sepanjang 52.2 km, 13.5km daripadanya berada di bawah tanah. Ia mempunyai 37 stesyen, dengan 11 adalah stesyen bawah tanah.

Pada 31 Mei, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Projek MRT3 yang masih dalam tahap perancangan dibatalkan kerana menelan kos tinggi antara RM40 bilion sehingga RM 45 bilion.

MRT3 akan melengkapkan Circle Line yang terdiri daripada MRT1 menghubungkan Sungai Buloh- Kajang dan MRT2 yang menghubungkan Sungai Buloh- Serdang-Putrajaya.

MRT3 dirancang untuk menghubungkan semua sistem pengangkutan bersepadu Lembah Klang menjelang 2025.

Projek itu berjarak lebih 40 km dan mempunyai 36 stesyen, 32 km laluannya akan dibina di bawah tanah. – 22 Jun, 2018.

Iklan
Iklan