Iklan

Zeti puji lantikan gabenor Bank Negara baharu

Asila Jalil6 years ago22nd Jun 2018Berita
Zetty aziz tmi 02
Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Zeti Akhtar Aziz memuji pelantikan Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai gabenor Bank Negara Malaysia dan menyifatkan ia pilihan yang tepat semasa ditemui di luar Menara Ilham di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Jun, 2018.
Iklan

TINDAKAN kerajaan melantik Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai gabenor baru Bank Negara Malaysia (BNM) mencerminkan penghormatan pentadbiran negara terhadap peranan bank pusat, kata bekas gabenor BNM Zeti Akhtar Aziz.

Menurut beliau, Shamsiah yang juga bekas timbalan gabenor BNM, adalah pilihan tepat kerana berpengalaman dalam hal berkaitan bank pusat.

“Ia mencerminkan penghormatan yang diberikan kerajaan terhadap bank pusat sebagai institusi penting.

“Datuk Shamsiah adalah bekas timbalan gabenor ketika saya berkhidmat dan beliau tahu semua mengenai perbankan pusat dan beliau melaksanakan ia dengan jayanya,” katanya kepada pemberita di luar Menara Ilham di Kuala Lumpur hari ini.

Zeti berkata pelantikan Shamsiah disenangi pasaran dan mengambarkan BNM sebagai institusi yang bebas dalam menjalankan tugasnya

Zeti menafikan pelantikan Shamsiah disebabkan penglibatan beliau (Nor Shamsiah) dalam siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika ditanya pemberita.

“Pelantikan ini mencerminkan keupayaannya, sebenarnya beliau kini sudah memegang jawatan dalam IMF (Dana Monetari Antarabangsa) kerana kelayakannya dan beliau diiktiraf di peringkat antarabangsa serta dalam bidang kepakarannya iaitu kestabilan kewangan,” katanya. 

Awal hari ini, Bloomberg memetik jurucakap kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengesahkan pelantikan Shamsiah selepas dicalonkan dan mendapat perkenan Agong.

Shamsiah adalah bekas pegawai kanan BNM yang sebelum ini membantu dalam siasatan ke atas 1MDB.

Beliau pernah menjawat jawatan timbalan gabenor selama enam tahun sebelum meletak jawatan pada November 2016. – 22 Jun, 2018.

Iklan
Iklan