Siasatan 1MDB hampir selesai, kata Abu Talib
Iklan
SIASATAN terhadap skandal 1Malaysia Development BErhad (1MDB) kini hampir selesai, kata Abu Talib Othman.
Pengerusi Jawatankuasa Siasatan 1MDB itu berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat dengan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Shukri Abdull dan bekas ketua pesuruhjaya Abu Kassim Mohamed.
“Mereka memberi taklimat kepada kami mengenai status siasatan mereka yang berterusan dan ia berjalan lancar,” kata Abu Talib.
“Penyiasat hampir menyelesaikan siasatan dan akan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara tidak lama lagi.”
Abu Talib juga mengesahkan yang kes SRC International adalah antara kes yang disiasat, namun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Ketika ditanya mengenai keberadaan saksi penting yang terlibat dalam kes itu iaitu ahli peniagaan Low Taek Jho dan bekas pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil, Abu Talib berkata beliau tidak mengetahui mengenainya memandangkan beliau hanya bertindak sebagai penyelaras untuk siasatan tersebut.
“Siasatan ini melibatkan terlalu banyak perkara kompleks. Jadi, ia tidak hanya melibatkan satu aspek sahaja. Terlalu banyak syarikat yang terlibat,” tambahnya.
Beliau juga enggan menjawab pertanyaan tentang jumlah individu yang terbabit dalam siasatan berkenaan.
Selain Abu Talib, jawatankuasa 1MDB itu turut dianggotai Nik Shahrizal Sulaiman dari Pricewaterhouse Coopers (PWC) Malaysia, Syed Naqiz Shahbuddin Syed Abdul Jabar dari Naqiz & Partners, Penasihat Kanan Otoritas Jasa Keuangan Indonesia Faris Rabidin dan Pengasas Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) Cynthia Gabriel. – 22 Jun, 2018.