Polis salah guna kuasa tahan Siti Kasim, kata peguam
Iklan
PENAHANAN peguam dan aktivis Siti Kasim adalah penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa, kata peguam hak asasi manusia Eric Paulsen tidak lama selepas Siti dibebaskan.
Siti dibawa ke ibu pejabat polis Kajang malam tadi bersama anak guamnya Anis Izatty Ruslan, selepas pegawai polis merempuh masuk ke rumahnya dan menahan mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat sebelum ini berkata Siti dan Anis ditahan susulan laporan polis dibuat oleh ibu Anis yang mendakwa mental anaknya tidak stabil dan diculik dari hospital oleh Siti.
Paulsen berkata tindakan polis “cuai” dan penegasan Anis sendiri yang mengatakan dia tidak diculik membuktikan bahawa mereka bertindak secara salah, malah sebelum siasatan dijalankan.
“Polis sepatutnya siasat dulu sama ada benar atau tidak, Anis yang berumur 24 tahun itu diculik,” kata Paulsen yang juga pengarah eksekutif Lawyers for Liberty kepada The Malaysian Insight.
“Kenapa mereka tidak panggil Anis atau Siti untuk disoal siasat, sebaliknya mereka pecah masuk ke rumah Siti.”
Anis sedang menerima rawatan di hospital kerana kecederaan dipercayai berpunca daripada serangan ibunya.
Tangkapan malam tadi itu dikongsi di Facebook Suri Kempe, pengurus program Musawah, kumpulan hak asasi Muslim dan di dalam video sama, Anis dilihat berkata dia tidak diculik dan semuanya itu hanya tipu. – 24 Jun, 2018.
Baca berita penuh di sini.