Asyraf Wajdi ketua Pemuda Umno baharu
Iklan
BEKAS timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Asyraf Wajdi Dusuki secara rasmi diumumkan sebagai ketua Pemuda Umno baharu.
Turut bersaing bagi merebut jawatan tersebut ialah Senator Khairul Azwan Harun, Ketua Pemuda Pahang Shahar Abdullah dan Ketua Bahagian Sg Besar yang kini dalam pelarian, Jamal Yunos.
Manakala Shahril Sufian Hamdan dipilih sebagai timbalan ketua Pemuda.
Beliau mendahului sembilan calon yang merebut jawatan itu.
Calon-calon lain ialah Bastien Onn , Zahrudin Yahya, Sharique Adam Das, Razali Tushan, Halim Sidek Hassan, Ridzuan Hashim Baki, Safhwan Matusin dan Fariz Hadi.
Bagi jawatan Ketua Wanita Umno pula, ia dimenangi oleh Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad.
Asyraf berkata akan cuba menghapus budaya kelompok dalam Umno kerana menurut beliau setiap individu diperlukan bagi membina semula parti selepas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Bekas timbalan menteri itu juga berkata penyertaan ramai calon dalam pemilihan kali ini adalah cerminan positif kerana ramai sedia maklum bahawa Umno tiada apa-apa lagi untuk ditawarkan.
“Mungkin dulu ramai mengimpikan kuasa dan status tetapi realitinya hari ini, parti tidak ada apa-apa lagi untuk ditawarkan.
“Saya fikir apa yang penting seterusnya ialah semua yang bertanding perlu bersatu,” beliau memberitahu wartawan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini sambil menambah akan cuba membawa calon yang kalah ke dalam pasukannya bagi pembinaan semula parti.
Terdahulu hari ini, Senator Khairul Azwan Harun memperakui kemenagnagn Asyraf dan menawarkan diri untuk membantu memulihkan parti.
Khairul juga berharap Pemuda Umno akan kembali mengukuhkan perpaduan selepas selesai tempoh pemilihan dan mengingatkan Umno kini perlu jadi pembangkang yang berwibawa untuk rakyat.
Secara keseluruhan, Umno menerima 612 pencalonan untuk pelbagai jawatan.
Pemilihan bagi jawatan tertinggi parti akan diadakan pada 30 Jun ini. – 24 Jun, 2018.