Politik wang jadi masalah dalam Umno, kata Ku Li
Iklan
POLITIK wang sejak sekian lama menjadi masalah dalam Umno dan calon presiden Tengku Razaleigh Tengku Hamzah ingin menghapuskan budaya itu jika beliau berjaya mengambil alih kuasa pimpinan.
Dalam temu bual dengan stesen radio BFM hari ini, Tengku Razaleigh berkata beberapa ahli yang menjadi pemimpin bahagian akan disenangi atau memperoleh keistimewaan jika mereka mempunyai hubungan dengan pihak atasan parti.
“Mereka mahu mengekalkan kewujudan mereka di sana (dalam parti). Mereka terpaksa memberi servis kepada semua penyokong untuk menjaga kedudukan agar dapat mengekalkan hubungan dengan mereka yang berkuasa,” katanya.
Beliau menyifatkan politik wang sebagai hubungan yang ada antara penyokong dengan kerajaan serta transaksi wang yang berlaku di antaranya.
Tengku Razalaeigh yang juga dikenali sebagai Ku Li berkata ia menjadi masalah kerana individu-individu ini “mengerumuni” wang tanpa melakukan banyak kerja.
“Kerana itu semua orang mahu kekal di tempat mereka kerana ia sejenis kerja dan mereka boleh mendapat banyak wang dengan hanya bertindak begitu tanpa membuat banyak kerja.
“Mereka seperti perantara, broker antara penyokong dan orang yang mengeluarkan kuasa di pusat atau di atas,” kata Tengku Razaleigh.
Beliau menambah individu-individu ini juga akan menghalang ahli baru masuk bagi mengekalkan kedudukan mereka, yang membawa kepada kekecewaan ahli muda kerana tidak dapat membuat kemajuan dalam senario politik.
Tengku Razaleigh berkata beliau akan bersikap tegas dan berdisiplin jika dipilih memimpin Umno bagi mendidik ahli-ahli.
“Mereka perlu memahami kerana hal ini tidak akan membawa ke mana-mana. Mereka tidak memperoleh kepakaran selain daripada mendapatkan kontrak atau sekeping kertas dan menjualnya kepada seseorang yang bersedia memberi mereka keuntungan duit.
“Tetapi ia tidak akan membantu dalam jangka masa panjang kerana beliau tidak mendapat pengetahuan atau kepakaran tambahan,” katanya.
Beliau juga berkata beliau tidak mengeluarkan satu senpun sepanjang tempoh berkempen menjelang pemilihan parti pada 30 Jun.
“Politik wang tidak baik untuk mereka dalam jangka masa panjang. Ia adalah pendidikan yang baik.
“Sepanjang tempoh ini kita dapat menyampaikan idea ini supaya menolak politik wang dan tiada wang digunakan dalam kempen ini, sekurang-kurangnya saya tidak mengeluarkan satu senpun,” katanya. – 26 Jun, 2018.