Iklan

Sejak 25 tahun lepas, ahli Umno dah tak berani bersuara, kata Ku Li

Asila Jalil6 years ago26th Jun 2018Berita
Tengku razaleigh hamzah umno pc 01
Tengku Razaleigh Tengku Hamzah berkata "budaya diam" ahli Umno sampai tak berani tegur pemimpin adalah masalah utama parti Melayu itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2018.
Iklan

SEJAK 25 tahun lepas, ahli Umno sudah tidak berani bersuara sehingga mewujudkan “budaya diam” dalam parti, kata veteran Umno Tengku Razaleigh Tengku Hamzah.

“Sesiapa yang pegang kuasa dalam Umno sejak 25 tahun lalu, mereka tak boleh disentuh dan ahli tak berani kata apa-apa tentang mereka,” katanya dalam satu wawancara bersama stesyen radio, BFM hari ini.

Menurutnya lagi, Najib Razak bukan satu-satunya masalah parti Melayu itu. Tetapi, “budaya diam” yang sudah berakar umbi turut jadi masalah dan ia perlu dihapuskan supaya Umno boleh mengubah imejnya jadi komited kepada perubahan.

Tengku Razaleigh yang lebih mesra dikenali sebagai Ku Li berkata Umno sudah banyak berubah berbanding zaman Tunku Abdul Rahman, Hussein Onn dan Abdul Razak Hussein yang mana semua orang bebas berdebat apa sahaja pada Perhimpunan Agung parti.

Beliau mengakui wujudnya “budaya diam” sejak dua dekad lalu apabila ahli sudah tidak bebas menyuarakan pandangan mereka.

“Malah ucapan yang anda akan sampaikan ketika Perhimpunan Agung untuk diperdebatkan juga disaring, jadi anda hanya boleh cakap perkara tertentu sahaja.

“Jika anda dipilih (untuk berdebat), hanya mereka yang terpilih sahaja boleh mengambil bahagian dalam perdebatan,” katanya mengulas mengenai budaya yang mengekang parti Melayu itu.

Tengku Razaleigh menambah banyak perkara berkaitan parti boleh ditimbulkan jika budaya itu dihapuskan.

Katanya lagi, sejak 25 tahun lalu, ahli hanya boleh “berbisik” sesama mereka jika ada ketidakpuasan hati dan tidak lagi menyuarakan secara terbuka.

“Tentang dasar, tentang cara pentadbiran, tentang sikap pemimpin, tentang semua salah laku dibuat pemimpin.

“Zaman dahulu semua orang bebas bercakap tentang perkara ini dan tiada siapa terasa hati. Tetapi sejak 25 tahun lalu, tak ramai yang berani kata apa-apa,” katanya apabila ditanya mengenai perkara yang boleh disuarakan tetapi didiamkan.

Tengku Razaleigh bertanding merebut jawatan presiden parti melawan Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin.

Pemilihan parti untuk jawatan tertinggi dijadualkan berlangsung pada 30 Jun. – 26 Jun, 2018.

Iklan
Iklan