Iklan

E-bidding untuk nombor pendaftaran kenderaan pada Ogos, kata menteri pengangkutan 

Gan Pei Ling6 years ago27th Jun 2018Berita
Anthony loke
Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap pada sidang media selepas mesyuarat kabinet mingguan yang diadakan di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 27 Jun, 2018
Iklan

SEBUAH syarikat tempatan dengan sukarela melancarkan laman web e-bidding untuk nombor pendaftaran kenderaan secara percuma bagi membantu kerajaan Pakatan Harapan meningkatkan pendapatan, umum Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini. 

“Masyarakat tidak perlu ke pejabat JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) lagi, mereka boleh membida secara dalam talian,” kat Loke pada sidang media selepas mesyuarat kabinet mingguan di Putrajaya.

Laman e-bidding itu dijangka akan beroperasi pada Ogos, sementara menunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan. 

“Ia merupakan projek pilot khas untuk meningkatkan dana kepada kerajaan. Syarikat berkenaan tidak akan mengenakan sebarag caj kepada kerajaan mahu pun pengguna,” kata Loke.

Harga minimum akan diberikan bagi nombor pendaftaran satu atau dua digit, tambahnya.

“Syarikat itu datang kepada kami. Tiada keperluan untuk memberikan apa-apa kepada syarikat berkenaan. Ia merupakan CSR (projek tanggungjawab sosial korporat) mereka,” katanya. 

Loke berkata, syarikat itu akan menguji laman berkenaan pada Julai.

Sebaik sahaja perjanjian dimuktamadkan, kementerian akan mengumumkan nama syarikat dan butiran lanjut, katanya. 

Sementara itu, Loke turut mengumumkan Kementerian Pengangkutan menafikan terdpaat rancangan untuk melancarkan program skim rebat tunai kepada pengguna untuk menjual kenderaan lama mereka. 

“Buat masa ini, ia di luar perancangan,” katanya selepas menerima kritikan daripada orang ramai berhubung cadangan itu.

Bagaimanapun, bagi menyelesaikan aduan penduduk berhubung kenderaan yang ditinggalkan di kawasan kejiranan mereka, Jabatan Pengangkutan Jalan akan mengkaji untuk memperkenalkan sijil pendaftaran semula kenderaan. 

“Kebanyakan kenderaan yang ditinggalkan ini masih berdaftar. JPJ akan mengkaji bagaimana untuk menjalankan sijil pendaftaran semula, bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan,” katanya. – 27 Jun, 2018

Iklan
Iklan