Iklan

Negeri BN tidak akan didiskriminasi, kata Wan Azizah 

Gan Pei Ling6 years ago28th Jun 2018Berita
Wan azizah ide tmikamal 03
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap di rumah terbuka anjuran Institut Darul Ehsan di Shah Alam hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Jun, 2018 
Iklan

NEGERI-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional akan menerima peruntukan persekutuan utnuk pembangunan, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

“Kerajaan sudah bincangkan mengenainya. Negeri pembangkang akan menerimanya tetapi bukan melalui ketua bahagian (parti politik). 

“Ia perlu disalurkan ke pejabat pembangunan negeri. Ini dasar kami,” katanya kepada pemberita di rumah terbuka anjuran Institut Darul Ehsan di Shah Alam hari  ini. 

Dr Wan Azizah berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengikut jejak langkah BN yang mengamalkan diskriminasi dan berpihak. 

“Sebelum ini ketika BN menjadi kerajaan, negeri pembangkang tidak mendapat peruntukan (persekutuan), seperti Selangor dan Pulau Pinang. Peruntukan disalurkan kepada Umno bahagian,” katanya. 

Semalam, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Riha Harun berkata 16,000 kampung di seluruh negara akan menerima peruntukan RM100 juta untuk pembangunan. 

Dana itu diberikan kepada negeri PH melalui Majlis Pembangunan Komuniti Kampung, yang sebelum ini dikenali sebagai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). 

Rina berkata negeri pembangkang juga akan menerima dana melalui mekanisme lain yang akan siap dalam tempoh sebulan. 

Sementara itu, Dr Wan Azizah juga berkata isu bahasa tidak perlu terus dipolitikkan.

“Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi. Tiada sebarang isu. (Menteri boleh) buat terjemahan (untuk kenyataan mereka. Kita ada (terjemahan) dalam filem juga,” katanya. 

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menerima kecaman kerana mengeluarkan kenyataan umum dalam bahasa Mandarin sahaja di akaun Facebooknya untuk mempertahankan kenyataan media trilingual.

Pada majlis itu juga, Dr Wan Azizah turut mengalu-alukan rakyat Malaysia kerana perubahan kerajaan berjalan dalam keadaan aman damai pada 9 mei lalu dan menggesa rakan-rakan dalam PH untuk bekerja keras bagi memenuhi janji pakatan itu kepada rakyat. 

“Jika rakyat boleh tidak memilih (BN) selepas 61 tahun, kita juga boleh (tidak dipilih) jika tidak memenuhi janji,” katanya. 

Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, yang berjanji untuk memberi kebebasan bersuara dan menggalakkan perdebatan intelektual di negeri itu. 

PH memenangi 51 daripada 56 kerusi negeri dan 20 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke 14. – 28 Jun, 2018

Iklan
Iklan