Iklan

Jurang antara Dr Mahathir dan BN

The Malaysian Insight7 years ago30th Jun 2017Editorial
Iklan

SEPANJANG kerjayanya sebagai ahli politik, Dr Mahathir Mohamad tidak pernah sekalipun berlapik dalam kata-katanya. Tetapi kemelut perbezaan antara beliau dan Perdana Menteri Najib Razak tidak pernah menyentuh Barisan Nasional (BN), pakatan yang pernah diterajuinya dalam lima kempen pilihan raya dengan penuh jaya. 

Sehinggalah semalam apabila beliau mencerca Umno dan BN mencerminkan bagaimana beliau sudah jauh terpisah daripada parti dan pakatan lamanya. Beliau mengecam pemimpin tertinggi dan menuduh mereka bersekongkol dengan Najib dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Mereka tidak kisah apa yang akan jadi kepada negara ini, kepada rakyat dan kepada reputasi kerajaan yang baik yang dibina pemimpin terdahulu.

”Apa yang mereka kisah hanyalah kedudukan mereka, kemudahan yang mereka dapat serta kemungkinan besar dedak yang diperolehi. Biarlah negara ini hancur. Biarkan ianya dipanggil kleptokrasi. Biarkan ianya tersenarai sebagai diantara 10 negara paling korup di dunia. Mereka tidak kisah. Tidak mungkin mereka tidak tahu. Tetapi mereka tidak kisah,” kata Dr Mahathir Mohamad yang kini merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sejarah berulang kembali.

Najib dan penyokong setianya dalam Umno sudah tidak dapat diganggu gugat lagi. Tidak kisahlah betapa dia terkesan dengan 1MDB, Umno dan BN masih percaya yang Najib ialah pilihan terbaik mereka untuk terus menang dalam pilihan raya.

Tidak jauh beza dengan Umno dan BN yang berdiri teguh di belakang Dr Mahathir ketika pemecatan dalam Umno atau apabila parti itu diisytiharkan haram, kejadian mata lebam, krisis perlembagaan dan lain-lain.

Hakikatnya orang Umno dan BN tidak berpegang kepada etika dan integriti sejagat. Baginya, yang terpenting ialah hanya apa yang terbaik untuk Umno dan pakatannya. Bukan pandangan dunia atau beberapa pihak lain dalam Malaysia.

Dr Mahathir boleh bercakap sampai berbuih mulut tetapi orang dalam Umno dan BN akan terus kekal dengan tradisi setia kepada pemimpin atasan mereka. Sehinggalah sampai ketika pemimpin itu memutuskan untuk mengundurkan diri.

Ini yang berlaku kepada Tunku Abdul Rahman. Ini yang terjadi kepada Hussein Onn. Ini juga yang berlaku kepada Dr Mahathir Mohamad. Ini juga nasib Abdullah Ahmad Badawi. Setiap pemimpin meraih setia sehinggalah tampuk kepimpinan berubah, setia yang mengebalkan mereka daripada kritikan dan ejekan pihak lain.

Apapun, kritikan terbaru Dr Mahathir mengesahkan dua perkara. Beliau kini belajar betapa BN tidak akan berubah dan satu-satunya pilihan yang wujud ialah menyertai rakyat Malaysia yang lain dalam perjuangan menentang pakatan pemerintah.

Sekarang, beliaulah yang paling lantang bersuara mengkritik barisan yang dibinanya sepanjang 22 tahun beliau berkuasa. Seperti mana Tunku Abdul Rahman yang menentang kerajaan Dr Mahathir dahulu.

Adakah ia mencukupi, untuk memikat hati mereka yang berpandangan Dr Mahathir hanya mahu menyingkirkan Najib tetapi bukannya Umno dan BN? Rakyat masih belum dapat membuat keputusan tetapi kecaman terbarunya mendedahkan betapa jauh terasing beliau daripada rakan lamanya dalam skandal 1MDB.

Mungkin perbezaan ini akan menjadi titik perubahan dalam kempen pilihan raya akan datang.

Atau mungkin juga tidak. – 30 Jun, 2017.

Iklan
Iklan