Iklan

Semuanya soal Najib lawan Dr Mahathir dalam PRU 14

Chan Kok Leong7 years ago8th Jul 2017Editorial
Iklan

JANGAN tersilap. Pilihan raya umum akan datang ialah pertembungan antara Najib Razak dan susuk yang bertanggungjawab mengangkat Najib, Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataan paling lantang pernah dikeluarkan setakat ini, perdana menteri itu akhirnya menamakan Dr Mahathir dan menuduhnya memaksa penggantinya meletakkan jawatan dan tidak akan berhenti selagi mana anaknya, Mukhriz Mahathir tidak dipilih menduduki jawatan perdana menteri.

Dr Mahathir mungkin akan berkuasa kembali sebagai perdana menteri, mungkin juga tidak. Malah dia mungkin tidak akan bertanding pun dalam pilihan raya umum akan datang. Tetapi susulan pertelingkahan terbaru antara Najib dan negarawan berusia 91 tahun itu, pengundi akan dipaksa memilih ideologi siapa yang menarik perhatian mereka antara dua susuk utama negara ini.

Ia akan menjadi pertempuran antara bekas perdana menteri yang sewaktu pentadbirannya kehilangan berbilion ringgit kerana idea dan angan-angan yang terlalu tinggi dan kerajaan sedia ada yang juga kehilangan berbilion ringgit kerana salah urus kewangan.

Bagi pengundi dalam pilihan raya umum akan datang, pilihan yang wujud ialah antara Dr Mahathir yang mengetuai kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa skandal forex Bank Negara Malaysia (BNM), kejatuhan industri perlombongan, kemelut Perwaja Steel, krisis perlembagaan, pengharaman Umno, Operasi Lalang dan pemecatan Anwar Ibrahim.

Tetapi, sebagai balasan, pemerintahan Dr Mahathir juga memberikan Malaysia kereta nasional pertama negara, program yang mengubah ekonomi pertanian kepada ekonomi perindustrian, Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, penswastaan Malaysia Airlines, dan menjadikan Petronas dalam senarai syarikat 500 paling berjaya dunia.

Dia juga memberikan Malaysia menara berkembar tertinggi dunia, Lebuh raya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang, usahawan berjaya terkemuka seperti Syed Mokhtar Al Bukhary, Ananda Krishnan, Vincent Tan dan arwah Syed Nasimuddin Amin dan mengawal ketat ketegangan kaum dan agama.

Di peringkat antarabangsa, pemerintahan Dr Mahathir menyaksikan Malaysia melonjak naik di mata dunia ketika dia menentang British dengan “Buy British Last” pada 1981, berterusan mempertahankan pendirian berkecuali Malaysia dan menentang Barat dengan mengkritik rekod pencapaian mereka sendiri.

Sebaliknya, kerajaan pimpinan Najib meluaskan jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang, meliberalisasikan sektor swasta tertentu, melaksanakan Program Transformasi Negara yang berjaya mengurangkan defisit fiskal negara, mempelbagaikan pendapatan kerajaan dan mengurangkan kebergantungan kepada dividen Petronas dan mengangkat kumpulan B40 dengan memberikan mereka wang tunai supaya mereka boleh melangkah keluar daripada perangkap kemiskinan tegar.

Tetapi harga yang perlu dibayar ialah cukai kepenggunaan yang hampir dikenakan ke atas barangan makanan dan cukai tidak secara langsung seperti cukai pelancongan.

Kerajaan Najib juga menyaksikan pemenjaraan Anwar untuk kali kedua, masalah perlembagaan dalam isu pengambilalihan kerajaan Perak, menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat dengan undang-undang yang lebih menekan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), Akta Pencegahan Keganasan dan Akta Majlis Keselamatan Negara, kemelut Felda Global Ventures, ketegangan kaum dan agama yang semakin memuncak, dan paling utama ialah skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dasar luar Najib pula menyaksikan pentadbirannya mewujudkan hubungan yang lebih rapat dan mesra dengan Amerika Syarikat, China dan Timur Tengah, mengakhiri pendirian berkecuali Malaysia dan peningkatan projek pembangunan yang dianugerahkan kepada entiti luar.

Ketika zaman Dr Mahathir, Malaysia dikenali sebagai harimau ekonomi Asia, tetapi kini negara dicemari dengan khabar kes pendakwaan merentas tiga benua berkaitan skandal 1MDB.

Jabatan Kehakiman AS tanpa berselindung mengatakan yang hampir AS$4.5 juta yang dirompak daripada 1MDB masuk ke dalam kocek pegawai tertentu.

Walaupun sudah banyak tindakan undang-undang diambil di seluruh dunia, di Malaysia masih sunyi sepi. Selain daripada denda BNM kepada 1MDB, tiada tindakan yang diambil kepada bekas CEO syarikat, ahli lembaga pengarah atau pengerusi lembaga penasihat.

Ketika kemuncak skandal 1MDB, seorang peguam negara dan dua pegawai atasan agensi pencegahan rasuah bersara sebelum tempoh jawatan mereka tamat, sementara itu siasatan Parlimen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Audit Negara dan BNK dihentikan tanpa tindakan lanjut dan hasil siasatan diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Jangan tersilap.

Pilihan raya umum akan datang bukan soal bagaimana Pakatan Harapan bergerak ke hadapan walaupun dicengkam kelemahan mereka. Ia juga bukan soal diam seribu bahasa BN dalam skandal 1MDB.

Dan pastinya ia bukan soal adakah PAS masih boleh kekal relevan tanpa sekutu utamanya- PKR dan DAP.

Ia adalah pertempuran antara tok guru dan anak didiknya. Ia pertempuran antara bakti dan khilaf mereka. Ia adalah satu pilihan antara BN sekarang dan dahulu, walaupun yang memisahkan keduanya sejak zaman berzaman di tampuk kuasa hanyalah senggang waktu yang sangat singkat. – 8 Julai, 2017.

Iklan
Iklan