Najib: Kuat, popular tapi mudah melatah?
Iklan
DI permukaan, dia terlihat tidak mudah dijentik; juga kelihatan sentiasa mengawal takdir politiknya.
Seorang lelaki yang percaya dia sudah mengharungi masa paling sukar dan kini boleh memperlekehkan lawannya dengan meletakkan orang kepercayaan di syarikat berkaitan kerajaan dan institusi tanpa bimbang dikecam.
Ya, di permukaannya; Perdana Menteri Najib Razak nampaknya masih selamat.
Tetapi ini persoalannya : mengapa seseorang yang tidak mungkin disingkirkan di dalam partinya dan nampaknya berada pada kedudukan terkukuh sejak 12 bulan lalu boleh melatah apabila seorang ahli politik pembangkang muda menjentiknya dengan mengatakan dia tidak menikmati sokongan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN)?
Bukan tidak menghormati Liew Chin Tong (DAP), tetapi dia tidak mempunyai wibawa atau reputasi Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng atau Mohamad Sabu. Kerana itu, jentikannya tidak mempunyai bisa yang sama.
Mengapa seseorang yang memperlekehkan Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak lebih daripada sekadar tukang buat bising atau pakar buat pusingan U terganggu dengan bekas perdana menteri itu?
“Dia (Dr Mahathir) tidak mempunyai prinsip dan akan melakukan apa saja, termasuk bersekongkol dengan mereka yang dipenjara, memanggil campur tangan asing di negara kita yang demokratik dan berdaulat, sabotaj ekonomi kita, dan membuat 100 pusingan U jika diperlukan untuk memanipulasi fikiran rakyat, seperti cara untuk mencapai hujung (matlamat) yang diingini.
“Anwar mungkin jatuh (terpengaruh) untuk ini, tetapi saya percaya negara tidak akan (terpengaruh). Kerana dengan hanya satu kerusi Parlimen, pengerusi Pribumi tidak dapat memutuskan siapa yang menjadi perdana menteri. Ia akan menjadi terlalu tidak demokratik,” kata Najib dalam kenyataannya.
Mengapa seseorang yang sepatutnya berada di kemuncak landskap politik Malaysia mudah terganggu dengan provokasi seorang ahli politik veteran yang masa silamnya dipenuhi “jerangkung dalam almari”?
Mungkin kerana di bawah permukaan, Najib sendiri tidak pasti dengan kemampuannya mencapai kejayaan dalam PRU14. Tanpa sedikit pun keraguan, tiada seorang pun yang cukup kuat untuk mencabarnya dalam Umno, tetapi ada lagi perkara yang masih di luar kawalannya.
Pertama, andaian utama untuk kejayaan Umno/BN ialah semua nama besar dalam pakatan pembangkang tidak akan mampu mengetepikan ego mereka untuk bekerjasama. Hasilnya: pembangkang yang berpecah belah, berbeza dengan kuasa pembangkang yang bersatu kukuh didepani Najib pada 2013.
Andaian ini tidak akan menjadi kenyataan sekiranya Pakatan Harapan boleh bersetuju dengan barisan kepimpinan dan bakal PM. Apatah lagi apabila Dr Mahathir memberikan sokongan kepada Anwar sebagai bakal PM, halangan terbesar untuk menyatukan pembangkang akhirnya boleh diatasi.
Kedua, peningkatan kos sara hidup yang memeritkan. Hakikat ini terutamanya tepat sekali untuk penduduk luar bandar dan miskin bandar, yang merupakan bank undi tradisitional BN. Mereka yang “bijak pandai” mengatakan Najib tidak akan mempunyai pilihan lain selain menghamburkan habuan tunai untuk memenangi kelompok ini tetapi ia sangat sukar dilakukan dalam keadaan kerajaan sendiri berdepan masalah perolehan pendapatan.
Ketiga, negeri kubu kuat “simpanan undi tetap” Johor, Sabah dan Sarawak, dan nampaknya hanya Sarawak yang masih kukuh ditakluk BN. Pakatan pemerintah mungkin akan terus menguasai Johor dan Sabah tetapi orang dalam Umno sendiri mengakui sukar mengulangi kejayaan besar di Sabah pada 2013.
Akhir sekali, saga 1MDB mungkin sudah berakhir di Malaysia tetapi sehingga Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat menghentikan siasatan mereka ke atas skandal itu, MO1 terpaksa terus berhati-hati.
Mungkin itu yang boleh menjelaskan sikap mudah berang dan melentingnya. – 9 Julai, 2017.